Madrasah As-Saidiyyah

Himpunan Video dan Maklumat berkenaan Madrasah As-Saidiyyah serta Pengajian Kitab di http://pondok-rasah.blogspot.com

Juga koleksi video pengajian kitab Soal Jawab A-Z tentang Tasawuf oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Follow twitter saya @antusabun

Monday, May 27, 2019

SAIFUL NANG, HASBARA ZIONIS DAN ZIARAH AL-AQSA


Dua, tiga hari ini dada saya cukup sempit dan serabut.

Setiap hari saya di'tag' di sebuah post yang ditulis oleh seorang rakan aktivis berkenaan isu yang saya rasa jauh daripada bidang pengetahuannya.

Post berkenaan ditulis oleh saudara Saiful Nang, dan rakan-rakan lain yang selama ini menyokong usaha pembebasan Palestin, keliru dan marah, bertanyakan pendapat saya berkenaan apa yang ditulis.

Setelah kalian membaca penulisan beliau, telitikan jawapan-jawapan balas saya melalui poin-poin berikut :

1. Poin paling besar dan utama ialah ziarah ke Al-Aqsa harus dijadikan ibadah, bukan digahkan dalam pakej pelancongan seperti berjalan ke Paris dan Scotland, meragakan gaya sekian dan sekian di tengah kota Tel Aviv yang sebelum ini menjadi ibu negara haram Israel, sebelum Jerusalem pula dicekup dan dijadikan ibu negara haram yang baru.

Ziarah ke sana sepatutnya menginsafkan kita, menjadikan kita tawadhu' dan tunduk sebagai hamba. Ia perjalanan spiritual, perjalanan penuh kerohanian dan penuh kesedaran bahawa ia memang bumi yang sedang dijajah dan bumi yang sedang parah.

Sebagaimana mereka yang ke Makkah tidak sesuai bergambar dan bergaya dengan 1001 gambar di hadapan Kaabah dengan posing yang macam-macam, begitu juga mereka yang menziarahi Laut Mati di Jordan dilarang berseronok secara berlebihan memandangkan ia tempat diturunkan azab Allah, begitu juga sangat tidak wajar kita bermegah berada di tengah kota milik ummah yang sedang dijajah.

Bagi kami, yang setiap hari berdepan kerakusan musuh Zionis, wajah kalian bersuka-ria di tempat musuh yang mengambil nyawa dan memusnahkan kehidupan penduduk setiap hari di sini, ia cukup menyakitkan.

Malah semalam, terlintas pula di wall saya gambar seorang ustaz yang sudah terlalu kerap ke sana, berposing gembira di tepi tembok pemisah dengan 1001 gaya, seolah kezaliman yang sedang dilakukan musuh memberikan sebab untuk ketawa.

2. Justeru, adakah ziarah ke Al-Aqsa dibenarkan syarak?

Ia masalah yang punya khilaf, tetapi pendapat ulama' ulama' besar, termasuklah pemegang taruh utama dalam usaha pembebasan Al-Aqsa menyatakan ia haram dalam keadaan ia dijajah, dengan punca utama ia adalah bentuk normalisasi kepada penjajahan Zionis, ia membantu ekonomi Zionis dan impak buruknya lebih besar daripada impak baik.

Secara peribadi, saya condong untuk bersama dengan pandangan yang mengharamkannya, MELAINKAN ZIARAH YANG PUNYA KESAN DAN TUJUAN JELAS :

a) Membentuk rangkaian dengan NGO atau institusi tempatan yang bertindak agresif menentang penjajahan tersebut, dengan tujuan menyokong usaha yang dilakukan secara terancang dan berkesan,

b) Melakukan usaha yang memberikan impak kepada usaha pembebasan Al-Aqsa, mislanya dengan membawa wang sumbangan yang besar, dengan kadar mampu menyelamatkan harta wakaf yang giat dibeli Zionis di Jerusalem misalnya,

c) Membuat liputan oleh badan yang berkesan, misalnya stesyen TV dengan tujuan memberikan kefahaman kepada umat Islam tentang hakikat bumi tersebut yang sedang dijajah, dan dengan nada penuh keinsafan dan membangkitkan semangat mengejar kemenangan dan kebangkitan Islam, BUKAN dengan tujuan mempromosi pakej pelancongan dan ziarah biasa,

Lalu usai setiap ziarah, pihak yang ke sana harus menginsafi hakikat ziarah mereka, dan sekiranya ke sana dengan tujuan yang saya sebutkan, perlu ikhlas menilai tindakan dan kesan pasca ziarah, samada memberi impak kepada kefahaman dan semangat ummah atau tidak.

Secara jelas, saya tidak bersetuju dengan ziarah dan pakej pelancongan yang pergi sekadar ziarah dan untuk mengimarahkan kiblat pertama umat ini, dalam keadaan ia dijajah.

3. Benarkah kebenaran yang diberikan oleh pihak Zionis kepada pelancong Muslim masuk ke Al-Aqsa suatu usaha normalisasi?

YA. Rajin-rajinlah membaca, dan kaji usaha Zionis yang disebut sebagai 'hasbara'.

Hasbara ialah istilah Ibrani yang membawa makna penjelasan atau klarifikasi.

Tetapi dalam istilah pemerintah Israel ia adalah projek dan aturan tersusun tentang kaedah hubungan antara masyarakat bagi melahirkan pandangan positif terhadap Israel. Dalam bahasa mudah, ia adalah propaganda terancang untuk menggambarkan bahawa Zionis betul dan baik.

Dukacitanya artikel saudara Saiful Nang adalah yang paling ekstrem pernah saya baca tentang berkesannya usaha 'hasbara' ke atas pelancong. Beberapa perkara yang ditulis saudara Saiful Nang sangat janggal dan tidak tepat,

a) Zionis menduduki Palestin akibat ‘Rules-of-Absence’. Yang menjadi persoalan dan langsung tidak disentuh ialah apa yang menyebabkan tanah tersebut 'absent'?

Apa yang menyebabkan ia dihijrahi?

Apa yang menyebabkan penduduk takut sehinggakan mereka meninggalkan rumah-rumah mereka dengan berkaki ayam tanpa sempat membawa apa-apa?

Saat inilah kalian perlu membelek sejarah.

Bacalah tentang pembunuhan besar-besaran Deir Yasin, Saliha dan Lid.

Bacalah tentang ibu-ibu mengandung yang dibelah perut mereka dengan pisau, lalu dicampakkan ke dalam lubang-lubang yang digali dan dinyalakan api membakar mereka supaya tidak tinggal kesan.

Bacalah tentang ratusan penduduk yang sehingga kini ahli keluarga mereka tidak tahu batang tubuhnya di mana.

Kemudian cubalah pula untuk mengenali gerakan mafia Zionis Irgun dan Lehi, sebelum memuji bahawa mereka aman dan cintakan kedamaian.

Tahukah kalian bahawa sebelum peritiwa Nakbah 1948 ini, ada 5% sahaja penduduk Yahudi yang asal tinggal dengan aman bersama 85% penduduk Islam, dan mereka inilah Yahudi Ortodoks yang dilihat selalu menentang gerakan Zionisme dan benar-benar cintakan keamanan, sedangkan yang berbaki adalah pendokong Zionisme yang datang mendokong aspirasi penjajahan negara umat Islam sebagai tempat sendiri?

Kejamnya mereka ketika itu, sehinggakan penduduk yang ketakutan, lari berhijrah meninggalkan kampung mereka, dengan niat kembali selepas seminggu dua apabila keadaan huru-hara reda, tetapi sehingga ke hari ini mereka masih terbuang di tempat orang.

Bukankah kalian selalu melihat penduduk Palestin memegang simbolik kunci sebagai tanda 'right of return'? Kunci-kunci ini adalah kunci rumah mereka yang ditinggalkan 71 tahun lalu, dengan harapan dapat kembali semula.

b) Begitu juga apabila disebutkan bahawa tanpa lawatan pelancong ke sana mengimarahkannya, ‘rules-of-absence’ juga akan terpakai dan Zionis akan mengambil-alih kota Jerusalem.

Sudah-sudahlah memperbodohkan orang lain.

‘Rules-of-absence’ yang digunakan Zionis menguasai Palestin ketika Nakbah adalah kerana bumi tersebut dihijrahi.

Adakah kawasan Jerusalem, atau lebih spesifik Kota Al-Aqsa dihijrahi dan tidak ada penduduk yang tinggal di sana?

Adakah mereka memerlukan kehadiran si pelancong sedangkan setiap hari rusuhan demi rusuhan berlaku di antara penduduk Palestin asal dan penjajah, pada permulaan Ramadhan puluhan ribu penduduk menunaikan solat di dalam Masjid Al-Aqsa dan pada setiap malam Ramadhan, masjid tersebut terus diimarahkan.

Mereka jelas tidak memerlukan kehadiran kita untuk memastikan kawasan tersebut tidak kosong.

c) Adakah ziarah ke sana membantu ekonomi penduduk Palestin?

Barangkali ya, ia membantu ekonomi penduduk tetapi dalam skala yang sangat kecil.

Malangnya, ia membantu ekonomi Zionis dengan jauh lebih besar dibandingkan dengan kos kecil yang kita bayar kepada penduduk melalui sewa hotel, membeli barangan cenderamata dan membayar kos ‘tour guide’.

Kalau ia benar-benar membantu ekonomi penduduk, tidaklah Zionis akan memberikan kita laluan mudah untuk ke sana.

Hakikatnya, puluhan billion yang mereka dapat hasil aktiviti pelancongan inilah yang menjadikan kalian tetamu kehormat mereka.

Pada masa sama, sangat tidak adil untuk berkata, tanpa ke sana pun kita sedang membantu ekonomi Israel dengan menggunakan facebook dan produk lain mereka.

Pastinya tidak sama kita masuk ke rumah musuh, membuka zip poket mereka dan memasukkan duit ke dalamnya, dengan menggunakan sebahagian produk yang tidak ada alternatif lain.

d) Kalau benar dengan menziarahi penempatan haram mereka dan diberi peluang masuk ke tempat yang orang lain tak pernah masuk, kita akan dapat mengenali Al-Quran dan bagaimana ia diaplikasikan, lakukanlah ziarah terakhir dan dokumentarikan, lalu dikongsikan kepada kami yang kurang bijak untuk dijadikan manfaat.

Kalau ia sekadar promosi pakej dan sebab untuk bangga menjadi tetamu si penjajah, saya cadangkan alang-alang sudah sampai ke Jaffa (Yafa), bawalah jemaah menziarahi sekali ‘mass graves’ yang ditemui di sana pada tahun 2013, yang merupakan tempat puluhan penduduk yang dibunuh beramai-ramai dalam peristiwa Nakbah ditanam.

4. Saya telah berada di Gaza sejak tahun 2013. Untuk pengetahuan kalian, jarak di antara Gaza dan Baitul Maqdis hanya sekitar 80km sahaja, tetapi tidak seorang pun penduduk Gaza dibenarkan untuk ke sana akibat kepungan Zionis ke atas penjara besar ini.

Kalau dibuka peluang pun, kami tidak rela ke sana dalam keadaan ia dikawal musuh.

Yang pasti satu hari nanti kami akan berarak ke sana kelak untuk membebaskannya daripada cengkaman penjajah.

Saya ingat, di satu hari yang penuh kepenatan setelah melaksanakan beberapa projek di Gaza ini, saya balik ke rumah dan tertidur dalam keadaan hampir berputus asa, dan berkira-kira untuk meninggalkan bumi ini dan pulang ke Malaysia yang aman damai dan selesa.

Tetapi malam itu, Allah memberikan saya nafas baru, berupa sebuah mimpi. Dalam mimpi tersebut, saya berjalan di tengah kekecohan pasar yang sempit, penjual sedang leka memanggil pelanggan, sehinggalah saya sampai ke sebuah lapangan.

Di sana, saya bertanya pemuda yang ada, di manakah Kubbah As-Sakhrah, the Dome of The Rock?

Rupanya saya sedang berada di dalam kompleks Masjid Al-Aqsa.

Beliau menunjukkan dengan jari ke arah selatan, dan saya mula berjalan.

Tak lama kemudian, kubah keemasan itu kelihatan, tetapi tak sempat sampai ke sana, saya terbangun.

Allah, perasaan rindu untuk ke sana sangat kuat seolah panggilan untuk melihat Kaabah, tetapi mimpi itu seolah-olah berkata, perjuangan kita masih belum sampai ke destinasinya, dan kita masih belum layak untuk solat di sana.

Isu lawatan ke Al-Aqsa, bukanlah terlalu susah untuk difahami, kerana secara jelas mudaratnya lebih besar daripada manfaat, tetapi ia memerlukan sedikit keikhlasan dan ilmu pengetahuan sebelum dikupas.

Kalau benar hendak membantu membebaskan Palestin, nah, kami di sini ada menjadi pengantara.

Samada hendak diberi makan kepada fakir miskin, hendak dibangunkan pendidikan untuk generasi baru atau hendak dibina semula rumah yang telah dirobohkan Zionis, kami ada.

Dan jaminan kami, sumbangan yang kalian masukkan semalam, dalam masa dua tiga hari sahaja boleh sampai kepada penerima, dan tidak satu sen pun akan sampai kepada penjajah.

Tetapi kalau tujuan ke sana memang untuk melancong, dan untuk mempromosi pakej pelancongan, sebutkan sahaja secara jelas.

Jangan dipusing kiri kanan sehinggakan Zionis menjadi kawan yang penuh tata susila dan bumi milik umat ini harus dikongsikan dengan saksama.

Untuk saudara Saiful Nang, dan teman-teman lain, jemput ke Gaza menjadi tetamu kami untuk sebulan dua secara percuma.

Saya pasti setelah melihat segala kesakitan, kezaliman dan kepedihan yang ada, kalian akan berundur dan mengerti, bahawa benarlah apa yang dikongsikan hamba yang kerdil ini.

Untuk kalian yang sedang membaca, alihkan pelan pelancongan kalian ke tempat lain sahaja, tetapi sebelum itu pastikan ada saham yang telah dikongsikan untuk memberi sinar kepada saudara kita di Palestin, khususnya di Gaza melalui puluhan projek yang kami laksanakan setiap tahun.

Salurkan sumbangan kalian bagi membantu kami mencapai sasaran RM2 juta untuk penduduk Palestin di bulan Ramadhan ini, melalui akaun rasmi NGO Persatuan Cinta Gaza Malaysia,

Maybank 5648 1050 7826
Maybank 5648 1050 7826
Maybank 5648 1050 7826

Kami masih memerlukan dana untuk membayar harga ribuan pek ifthar yang telah diagihkan, begitu juga belasan rumah yang menanti dibaik pulih, serta mendiamkan anak-anak kecil yang merengek kelaparan.

Oh ya, gambar di atas adalah gambar saya dua hari lepas bersama dengan wanita tua (paling kanan), yang sempat merasa dihalau Zionis daripada kampung halamannya tahun 1948.

Saya mungkin tak pernah sampai ke Al-Aqsa, tetapi di sekeliling kami mangsa-mangsa yang melalui detik hitam kekejaman pelampau, 71 tahun yang lampau.

Nadir Al-Nuri
19 Ramadhan 1440,
Gaza Palestin
--
Sent from myMail for Android

No comments: