Perkongsian spontan tanpa kredit



Follow twitter saya @negaramerdeka

Monday, September 26, 2011

Bidaah dari pandangan Ustaz Azhar Idrus

DALIL YANG DIGUNAKAN

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
…Seburuk-buruk perkara ialah perkara yang direka-reka (muhdathatuha) dan setiap yang direka itu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat.
(Riwayat Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Setiap yang direka ialah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat dan setiap yang sesat ke dalam neraka.
(Riwayat al-Nasaie).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Setiap yang mengada-adakan sesuatu pada ajaran kami ini sedang ia bukan darinya maka ianya tertolak.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

PENERANGAN DAN PEMAHAMAN PARA ULAMA TERHADAP HADIS BIDAAH

Berkata Saidina Umar al-Khattab R.A. bermaksud:…Baik bidaah ini…
(Riwayat Bukhari).

Saidina Umar al-Khattab R.A. berkata demikian ketika melihat para jemaah bersolat terawih berimamkan seorang imam sahaja .

Berkata Imam Abu Umar Yusuf al-Andalusi: Adapun kenyataan Saidina Umar R.A. ‘baik bidaah ini’ maksudnya bidaah mengikut orang Arab ialah mencipta sesuatu yang belum pernah ada dan tidak pernah bermula. Ia tidaklah mempunyai apa-apa percanggahan dengan sunnah (dari segi agama) seperti yang diamalkan selama ini. (Kitab: Al-Istizkar Syarah al-Muwatta).

Berkata Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah: Kata-kata Saidina Umar R.A. ‘baik bidaah ini’ adalah: Penyandaran baik kepada bidaah ialah kerana kebaikkannya dan penamaannya dari segi bahasa bukan syarak. Bidaah dari segi bahasa menyentuh setiap perbuatan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Adapun bidaah menurut syarak ialah perbuatan yang tidak berasaskan dalil syarie.

Amalan yang mempunyai sandaran kepada al-Quran dan al-Sunnah bukanlah bidaah dari segi syarak meskipun ianya bidaah dari segi bahasa. Perkataan bidaah lebih umum dalam bahasa daripada bidaah dalam syarak. (Kitab: Itidak Siratul Mustaqim).

Berkata Imam al-Ghazali: Bukanlah semua perkara bidaah adalah dilarang tetapi perkara yang dilarang ialah bidaah yang bercanggah dengan sunnah yang tetap dan sabit dan membuang segala arahan syarak. (Kitab: Ihya Umul al-Din).

Berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani: Bidaah asalnya ialah sesuatu yang baru diada-adakan iaitu sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ia di dalam syarak ialah lawan kepada sunnah dan dicela. Sebenarnya sesuatu yang baru diadakan itu sekiranya tidak bercanggah dengan syarak adalah baik dan sebaliknya jika buruk mengikut syarak maka ianya buruk kecuali termasuk bab harus. Bidaah adalah terbahagi kepada lima hukum. (Kitab: Fathul Bari).

Berkata Imam Abu Sulaiman al-Khitabi: Adapun sesuatu yang baru itu jika bersandarkan kepada kaedah Usul dan dirujuk kepadanya maka itu bukanlah bidaah dan bukanlah menyesatkan. (Kitab: Maalim al-Sunnah Syarah Sunnan Abi Daud).

Berkata Syeikh Bakhit Muthi: Bidaah syarie ialah yang sesat dan yang tercela. Adapun bidaah yang dibahagikan oleh ulama kepada bidaah wajib, haram dan sebagainya adalah bidaah dari sudut bahasa dan ia lebih umum pengertiannya daripada bidaah syarie kerana bidaah syarie adalah satu bahagian daripada bidaah dari sudut bahasa. (Kitab: Ahsanulkalam Fi Mayataallaqu Bil Sunnah Wal Bidaah Minal Ahkam).

PENGERTIAN BIDAAH

Setelah melihat perbincangan para ulama dalam memahami maksud hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ maka disimpulkan bahawa setiap amalan yang disokong oleh syarak walaupun ia berbentuk nas umum dan tidak pula bertentangan dengan syarak serta tidak membawa kepada keburukkan maka ia tidak termasuk di dalam pengertian bidaah yang sesat. Dan tidak juga boleh dikatakan kepada sesuatu perbuatan baik yang di bawahnya terdapat nas yang umum adalah sebagai bidaah sesat. Adapun makna bidaah secara syarie kesemuanya adalah tercela dan bidaah dari sudut makna syarie adalah salah satu cabang daripada bidaah dari sudut bahasa.

Berkata lagi Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah: Sesuatu yang tidak wujud di zaman Nabi Muhammad S.A.W. maka apa yang dilihat orang-orang Islam sebagai perkara-perkara baru yang tidak berlaku di zaman Nabi S.A.W. maka ia adalah perkara yang harus dilakukan selama mana menjadi keperluan. (Kitab: Itidak Siratul Mustaqim).

PEMBAHAGIAN BIDAAH KEPADA HASANAH DAN DHALALAH

Dari Imam Baihaqi maka berkata Imam Shafie: Bidaah ada dua: Bidaah terpuji (mahmudah) dan bidaah yang dicela (mazmumah). Maka apa yang sesuai dengan sunnah tetap dipuji dan yang mencanggahinya tetap dicela.
Imam Shafie berkata lagi bahawa perkara-perkara baru (al-muhdathat) ada dua jenis:
Pertama: Perkara yang mencanggahi al-Quran atau sunnah atau athar atau ijmak dan ini dikira sebagai bidaah sesat.
Kedua: Perkara baik yang diadakan yang tidak mencanggahi mana-mana daripada keempat-empat sumber (al-Quran, sunnah, athar dan ijmak) adalah perkara baru yang tidak dicela. (Riwayat Abu Nuaim. Kitab: Hilyah al-Auliya).

Berkata Imam Izzuddin Abdus Salam: Bidaah terbahagi kepada bidaah wajib, bidaah haram, bidaah sunnah, bidaah harus. (Kitab: al-Qawaid).

Imam al-Nawawi dalam mengulas hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ berkata:
Hadis ini adalah makhus dan dikehendaki dengannya ialah kebanyakkan bidaah. Berkatalah ahli bahasa: Ia (bidaah) adalah sesuatu yang baru dilakukan tanpa ada contoh sebelumnya.
Berkata ulama:
Bidaah ada lima bahagian iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Antara yang wajib ialah merangka dalil-dalil oleh para mutakallimin dalam menolak para mulhid (yang tidak percayakan kewujudan tuhan) dan menolak kaum bidaah (mubtadiin) dan seumpamanya. (Kitab: Fi Tahzib al-Asma Wa al-Lughat).

Berkata Imam Ibnu Athir: Bidaah terbahagi dua bahagian iaitu bidaah petunjuk dan bidaah kesesatan. Sesuatu perkara yang bercanggah dengan arahan Rasulullah S.A.W. maka ia adalah perkara yang tercela manakala perkara yang berada di bawah arahan baginda secara umum maka ia adalah terpuji.

Bidaah hasanah pada hakikatnya adalah sunnah. Maka di atas tafsiran ini bahawa maksud hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ ditafsirkan kepada perkara yang bercanggah dengan usul-usul syarak dan tidak bertepatan dengan sunnah. (Kitab: al-Nihayah).

2 comments:

Krongthip Mahalakorn said...

Semoga Wahhabiyun terbuka kedua mata ( dzahir dan batun ) dan menghentikan
sikap BODOH mentabdikan amalan ASWAJA.

Antusabun said...

yup. agree