Perkongsian spontan tanpa kredit



Follow twitter saya @negaramerdeka

Monday, August 13, 2012

Wanita gigit jari Akibat ghairah menukar suka sama suka gajet elektronik

PETALING JAYA: Akibat ghairah menukar suka sama suka gajet elektronik dengan pengguna lain dalam laman web tempatan yang terkenal memasarkan barangan terpakai, seorang wanita kerugian telefon pintar miliknya apabila dia memperoleh telefon mainan sebagai tukaran.

Mangsa dikenali sebagai Maya, 28, berkata, dia kerugian RM1,500 dalam kejadian akhir bulan lalu selepas ditipu seorang lelaki yang menukar telefon pintar jenama BlackBerry miliknya dengan iPhone palsu.

Maya berkata, dia berhasrat menukar telefonnya dengan jenama lain sebelum memasukkan iklan menukar gajet elektronik dalam laman web berkenaan pada Jun lalu.

Katanya, aktiviti tukar suka sama suka telefon pintar sudah lama dalam Internet sebagai satu cara memperoleh barangan tanpa mengeluarkan wang.

"Ia seperti sistem barter yang menukar barang dengan barang lain yang sama nilainya manakala kedua-dua pihak mempunyai kemahuan sama.

"Ini menjimatkan kerana tidak perlu membeli barangan lain menyebabkan saya mahu menukar telefon BlackBerry dengan iPhone," katanya.

Menurutnya, selepas lebih sebulan memasukkan iklan menukar telefon pintar itu, dia dihubungi seorang lelaki yang berminat menukar iPhone miliknya sebelum mereka membuat temu janji.

"Saya menemuinya di depan satu restoran untuk menukar telefon masing-masing. "Saya ditunjukkan satu iPhone hitam dan lelaki terbabit turut membuat pemeriksaan telefon bagi membuktikan ia masih berkeadaan baik.

"Selepas berpuas hati dengan keadaan iPhone itu yang masih elok dan asli, saya bersetuju menukarnya dengan telefon BlackBerry milik saya," katanya.

Katanya, selepas telefon bertukar tangan dan lelaki terbabit beredar, dia segera mahu mengaktifkan iPhone itu namun ia tidak berfungsi.

"Hairan dengan keadaan iPhone itu menyebabkan saya meneliti lebih lanjut sebelum terkejut apabila mendapati ia sebenarnya telefon mainan yang biasa digunakan di kaunter pameran premis menjual telefon bimbit.

"Saya cuba menghubungi lelaki terbabit bagi mendapatkan penjelasan, tetapi gagal.

"Malah, saya juga tidak mengambil maklumat lain mengenai lelaki terbabit menyebabkan dia gagal dikesan," katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru Subang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, mengesahkan menerima laporan.

sumber : myMetro

No comments: