Hari ini selasa 26hb April 2011, tajuk utama media cetak berbahasa Inggeris, New Straits Times memaparkan berita "Nasi lemak twice a week". Akhbar The Star pula memaparkan berita "Deadly illegal – Growing trade in illicit cigaretts costing Govt billion". Akhbar berbahasa Manderin seperti China Press dan Sin Chew pula memaparkan berita risiko suntikan menguruskan badan. Akhbar berbahasa Tamil pula menceritakan tokoh agama yang cukup berpengaruh meninggal dunia.
Malangnya tajuk berita utama media cetak berbahasa Melayu, Utusan Malaysia memaparkan tajuk utama "Anwar Lelaki Y", Berita Harian "Lelaki Y Anwar" dan Sinar Harian "Anwar Lelaki Y". Akhbar bahasa Melayu mejoritinya mengambil kes liwat 2 Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai tajuk utama. Apakah yang menjadi keutamaan kepada berita ini? Bukankah ia menceritakan keaiban orang Islam yang cukup meloyakan? Bukankah cerita seumpama itu sangat tidak sesuai dengan anak-anak sekolah? Bukankah cerita tersebut belum lagi diputuskan oleh mahkamah tetapi hanya dakwaan pihak pendakwa sahaja? Soalnya mengapa ia menjadi tajuk utama? Apakah agenda disebalik isu tersebut ?
Tiada halangan jika berita aib dan meloyakan ini dimasukkan dalam berita kecil dalam akhbar seperti New Strait Time yang memuatkan dalam muka surat 6 dan The Star dalam muka surat 10. Tetapi apabila tajuk liwat diletakkan berkali-kali sebagai tajuk utama maka sebenarnya media berbahasa Melayu seolah-olah mendoktrinisasi minda orang-orang Melayu dengan isu seks. Sebahagian besar pembaca media Utusan Melayu, Berita Harian dan Sinar Harian adalah kelompok orang Melayu berpendidikan rendah dan tinggal di pinggir dan luar bandar. Sesetengah daripada mereka tidak berpeluang mendapat pendedahan terhadap media baru.
Saya fikir lebih wajar media arus perdana berbahasa melayu meletakan tajuk utama mengenai dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Orang Melayu sudah berdepan dengan masalah sosial khususnya anak muda yang terlibat dengan masalah seks bebas, dadah, arak, anak luar nikah, sumbang mahram, VCD lucah dan lain-lain lagi. Akhbar berbahasa Melayu seolah-olah kurang sensitif terhadap isu sosial yang sedang dihadapi oleh orang Melayu sekarang.
Secara umumnya media berbahasa Inggeris, Manderin dan Tamil yang pembacanya terdiri daripada kelompok Melayu kelas menengah ke atas, masyarakat Cina dan masyarakat India tidak dihidangkan dengan cerita aib dan meloyakan seperti media berbahasa Melayu. Secara perbandingannya seolah-olah mereka dihidangkan dengan isu-isu yang lebih bertamadun daripada kelompok masyarakat Melayu berpendidikan rendah. Saya memohon agar media arus perdana berbahasa Melayu menghentikan agenda membodohkan minda orang-orang Melayu ini. Sudah cukuplah penjajah membodohkan orang Melayu lebih 400 tahun. Hidangkanlah minda semua rakyat Malaysia dengan perkara yang segar dan bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.
Suhaizan Bin Kayat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat.
(019 728 5174)
Buletinonline
No comments:
Post a Comment