Perkongsian spontan tanpa kredit



Follow twitter saya @negaramerdeka

Monday, August 15, 2011

Fadhilat Sahih Solat Terawih


Suatu masa dahulu hadis tentang kelebihan solat tarawih yang diriwayatkan dari Saidina Ali RA cukup popular ditampal di papan kenyataan masjid, di blog, email malah di media bercetak.

Antara kandungannya; daripada Saidina Ali RA beliau telah menanyakan kepada Rasulullah SAW tentang fadhilat Solat Tarawih pada bulan Ramadhan. Jawab Rasulullah SAW tentang fadhilat tarawih sebagai berikut, mulai dari malam pertama sampai malam 30 Ramadhan:

1. Malam Pertama: Diberi balasan seperti bayi baru dilahirkan.
2. Malam Kedua: Diampuni Allah dosanya dan bagi ibu-bapanya jika keduanya mukmin.
3. Malam Ketiga: Diseru oleh malaikat di bawah Arasy dan dengan solat tersebut diampuni Allah dosanya yang telah lalu.
4. Malam Keempat: Dibalas Allah seperti membaca kitab Taurat, Injil, Zabur, dan Quran.
5. Malam Kelima: Kemudian dikurniai Allah seolah-olah sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah, dan Masjidil Aqsa.
6. Malam Keenam: Dikurnia Allah seolah-olah dia tawaf di Baitul Makmur dan dipintakan ampun oleh segala batu dan pasir.


7. Malam Ketujuh: Dikurniakan Allah seolah-olah dia berjumpa dengan Nabi Musa AS dan membantu Musa melawan Firaun dan Haman…
8. … demikian seterusnya hingga akhir malam ke-30.

Bagaimanapun, hadis ini adalah hadis palsu, malah tiada sumber asal yang muktamad bagi hadis ini sebagaimana yang disebutkan oleh pakar-pakar hadis.

Maka bagi menggantikan hadis palsu tersebut, ada empat buah hadis yang sabit mengenai kelebihan solat tarawih ini. Iaitu sepertimana berikut;

1. Diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يرغب في قيام رمضان من غير أن يأمرهم بعزيمة ثم يقول : من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه. رواه البخاري ومسلم وأبو داود والترمذي والنسائي.

Terjemahan;
Daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW pernah menggalakkan sahabatnya berqiam Ramadhan tanpa menyuruh mereka dengan penuh kesungguhan (yang menunjukkan wajib), kemudian sabdanya: "Barangsiapa yang berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan redha dan ganjaran Allah) akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu".

(HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa'i)

2. Kembali sepertimana hari ibunya melahirkannya.

حديث عبد الرحمن بن عوف: من صامه وقامه إيمانا واحتسابا خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه. رواه النسائي في الكبرى (11،295) والصغرى (2199)، وأحمد (1618، 1645) وابن خزيمة (2015) وابن ماجه (1331) والبيهقي في الشعب (3462).

Terjemahan;
Daripada Abdur Rahman bin Auwf, sabda Nabi SAW: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dan berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, ia akan keluar daripada dosa-dosanya sepertimana hari ibunya melahirkannya".

(HR al-Nasa'i, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Majah dan al-Bayhaqi)

3. Ditulis dari kalangan para siddiqin dan syuhada.

عن عمرو بن مرة الجهني رضي الله عنه قال : جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، أرأيت إن شهدت أن لا إله إلا الله وأنك رسول الله وصليت الصلوات الخمس وأديت الزكاة وصمت رمضان وقمته، فممن أنا ؟ قال : من الصديقين والشهداء. رواه البزار وابن خزيمة وابن حبان في صحيحيهما واللفظ لابن حبان.

Terjemahan;
Daripada 'Amru bin Murrah al-Juhani RA katanya: Datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu katanya: Wahai Rasulullah, apakah pendapat tuan sekiranya saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya tuan adalah utusan Allah, dan saya bersolat lima waktu, menunaikan zakat serta berpuasa bulan Ramadhan dan berqiam Ramadhan, maka dari golongan siapakah saya ini? Jawab baginda: "Dari kalangan para siddiqin dan syuhada'".

(HR al-Bazzar, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)

4. Ditulis baginya pahala seumpama berqiamullail.

حديث أبي ذر : من قام مع الإمام حتى ينصرف كتب له قيام ليلة. رواه الترمذي وقال : هذا حديث حسن صحيح -791.

Terjemahan;

hadis Abu Zar RA, sabda Nabi SAW: "Barangsiapa berqiam (Ramadhan) bersama-sama imam sehingga ia selesai, akan ditulis baginya (ganjaran) seumpama berqiamullail".
(HR al-Tirmizi)

Demikianlah fadhilat-fadhilat yang besar bagi orang yang mengerjakan solat tarawih ini. Kelebihan-kelebihan tersebut tidak tertentu pada malam tertentu sahaja, bahkan ianya adalah umum bagi solat tarawih sepanjang bulan Ramadhan. Semuanya dapat diperolehi dengan kemurahan rahmat Allah Taala bagi mereka yang bersungguh-sungguh mengerjakannya. Mudah-mudahan fadhilat-fadhilat solat tarawih ini dapat tersebar secara lebih luas menggantikan hadis palsu mengenainya.

Posted @ www.isuhangat.net. Wallahualam.

No comments: