Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa agar DAP dibubarkan setelah parti itu dengan jelas hanya dimonopoli oleh kaum Cina dan gagal memperjuangkan hak kaum lain di Malaysia.
Setiausaha agung Perkasa Syed Hasan Syed Ali (gambar) berkata DAP langsung tidak memperjuangkan hak orang Melayu disebabkan perwakilan Melayu hanyalah kumpulan minoriti dalam parti tersebut.
“DAP bukan parti untuk kaum Melayu dan India. Setakat Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari yang terpilih ke dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, maka perjuangan Melayu dalam parti itu hanya kata-kata kosong.
“Zairil dipilih pun setelah parti itu dikecam mengenepikan kaum lain dalam nisbah pemimpinnya. Parti ini jelas untuk kaum Cina dan kita dapat lihat semasa pemilihannya dimonopoli oleh kaum tersebut.
“Kepada perwakilan Melayu yang masih berada dalam DAP, fikir-fikirkanlah apa perjuangan yang dapat diberikan melalui parti majoriti Cina itu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Syed Hasan berkata adalah lebih baik parti itu dibubarkan dan mengakui hanya kaum Cina sahaja yang dibenarkan menyertai DAP.Katanya, parti itu jelas menunjukkan kepimpinan nepotisme oleh kerana setiausaha agungnya Lim Guan Eng adalah anak kepada penasihat Lim Kit Siang dan ahli CEC DAP Gobind Singh Deo adalah anak kepada pengerusi parti Karpal Singh.
“Berapa kerat pemimpin Melayu dan India dalam DAP? Saya sarankan pemimpin Melayu dan India dalam DAP keluar dari parti itu untuk menyertai parti berasaskan kaum seperti Umno, PAS atau MIC yang jelas memperjuang hak kaum di Malaysia,” katanya.
Media melaporkan Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) Rahmad Isahak tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan semula parti itu yang menyaksikan status quo 20 anggota CEC DAP kekal.
Rahmad mempersoalkan daripada tujuh calon Melayu yang bertanding dalam pemilihan parti itu, hanya Zairil Khir yang berjaya menganggotai CEC.Katanya, Zairil bukan "Melayu Asli" kerana mempunyai darah Cina daripada sebelah ibunya.
"Kenyataan yang berbaur perkauman serta pembohongan yang berterusan telah membawa kesemua tujuh calon Melayu kecundang serta ditolak oleh perwakilan.
"Kalau DAP mampu membantu orang Melayu bagaimana mungkin kesemua calon Melayu boleh kalah,” jelas laporan berkenaan.Zairil berjaya mendapat 1,132 undi semasa pemilihan CEC semalam sekali gus meletakkannya di tangga ke-12.
Calon Melayu lain yang hampir memenangi kerusi CEC itu adalah Ariffin SM Omar dengan 441 undi, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (441) dan Ahmad Ton (351).
No comments:
Post a Comment