Malaysia disenaraikan sebagai salah sebuah negara yang kerap mengamalkan rasuah dan mengambil jalan pintas bagi mencapai sesuatu sasaran sewaktu dalam kegawatan ekonomi, kata satu kajian baru-baru ini.
Kajian yang dibuat Ernst & Young itu sekali gus menunjukkan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) kerajaan gagal dalam peranannya mentransformasikan bidang ekonomi.
Malaysia dan China berada pada paras teratas dalam skala rasuah menurut penemuan terbaru Laporan Kajian Penipuan Asia Pasifik 2013. Kajian itu dijalankan kepada 681 eksekutif di China, Singapura, Australia, New Zealand, Indonesia, Vietnam, Malaysia dan Korea Selatan.
Eksekutif yang terlibat dalam kajian ini mempunyai latar belakang dalam sektor industri, perbankan, peruncitan dan sumber asli.Separuh daripada eksekutif itu berpendapat China, Indonesia, Malaysia dan Vietnam paling banyak terlibat dalam rasuah.
"Kegiatan penipuan mencatatkan peningkatan dan hal ini tidak berkait di antara polisi ditetapkan dengan pematuhan polisi itu,"kata rakan pengurusan dalam laporan tersebut, Chris Fordham.
Kira-kira 39 peratus mendapati rasuah diamalkan secara meluas di Malaysia, dua kali ganda daripada purata Asia Pasifik iaitu sebanyak 21 peratus.
Malah, 29 peratus responden mendapati rasuah yang diamalkan di sini meningkat berikutan keadaan ekonomi yang semakin mendesak dan peningkatan dalam persaingan yang merupakan negara ketiga tertinggi dalam kajian itu.
Laporan itu mendapati sewaktu negara di Asia mengenengahkan polisi anti rasuahnya, pendekatan itu tidak dilaksanakan dengan berkesan.
Kira-kira 40 peratus responden mendedahkan syarikat mereka mempunyai etika anti rasuah dan 35 peratus lagi mengesahkan pegawai atasan mereka menyatakan komitmen terhadap polisi tersebut.
"Kajian juga mendapati risiko rasuah meningkat dalam pasaran negara membangun disebabkan kawalan persekitaran lemah dalam pelaksanaan polisi yang berbeza dengan kerangka kerja pematuhan global,” katanya.
Kajian berkenaan turut menunjukkan empat peratus responden bersetuju atau sangat bersetuju di mana bukan sesuatu yang salah menawarkan ganjaran wang dalam perniagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (gambar) membentangkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang salah satunya mengurangkan amalan rasuah. – 27 September, 2013
No comments:
Post a Comment