Perkongsian spontan tanpa kredit



Follow twitter saya @negaramerdeka

Monday, July 12, 2021

Adakah tutup kilang bawah PBT Negeri?

Semalam, telah berbangkit isu mengenai kebolehupayaan Kerajaan Negeri Selangor untuk ‘menutup kilang-kilang’ bagi mengawal wabak Covid-19. 

Nota ini adalah untuk menjawab apa yang dibangkitkan mengenai kuasa Kerajaan Negeri.

Akta 342

Perlu ditekankan di sini bahawa terdapat suatu undang-undang khusus bagi pengawalan penyakit berjangkit dan wabak iaitu Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342). 

Akta ini adalah undang-undang Persekutuan yang memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk membuat deklarasi ‘kawasan jangkitan’ serta mengeluarkan Peraturan-peraturan yang perlu bagi mengawal wabak dalam ‘kawasan jangkitan’.

Inilah punca kuasa bagi kesemua Perintah Kawalan Pergerakan dan juga SOP MKN yang digunapakai sepanjang krisis Covid-19. 
Akta 342 ini juga membolehkan Kerajaan Persekutuan untuk menentukan sektor ekonomi yang mana boleh beroperasi, termasuklah sektor perlu (essential) yang boleh beroperasi menggunakan surat yang dikeluarkan oleh sistem CIMS MITI. 

Maka, terdapat suatu undang-undang khusus untuk mengekang wabak yang merupakan bidangkuasa Kerajaan Persekutuan.
Adakah Kerajaan Negeri boleh ‘tutup kilang’ menggunakan lesen Pihak Berkuasa Tempatan?

Polemik yang berbangkit adalah bahawa Kerajaan Negeri boleh menggunakan lesen PBT untuk ‘menutup kilang’. Dalam erti kata lain, dikatakan bahawa Kerajaan Negeri boleh membatalkan lesen yang dikeluarkan oleh PBT untuk menutup operasi kilang. 

Ramai yang sudah memberi ulasan bahawa lesen PBT ini hanya salah satu daripada pelbagai lesen dan kebenaran yang perlu diperolehi oleh sesebuah kilang untuk beroperasi. Saya tidak mahu ulas lanjut tentang perkara ini, tetapi saya ingin khusus menjawab mengenai kuasa PBT mengenai lesen, yang terkandung di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). 

Sebelum menyentuh Akta 171, beberapa fakta penting perlu dinyatakan terlebih dahulu: 

1. Kilang-kilang yang diberi kebenaran operasi oleh MITI adalah kilang-kilang yang sah di sisi undang-undang. Bukan kilang haram dan sebagainya. 

2. Kilang-kilang ini mempunyai lesen PBT yang masih sah tempoh.

Perlu ditekankan bahawa Akta 171 memberi kuasa umum kepada PBT. Ia tertakluk kepada setiap PBT untuk menentukan syarat-syarat dan undang-undang kecil di setiap PBT, mengambilkira keperluan tempatan.

Ada pihak yang telah merujuk kepada Seksyen 107(2) Akta 171 untuk mengatakan bahawa lesen yang dikeluarkan oleh PBT boleh ditarik balik.

Seksyen 107(2) berbunyi:

Tiap-tiap lesen atau permit yang diberi tertakluk kepada apa-apa syarat dan sekatan yang difikirkan patut oleh pihak berkuasa tempatan dan boleh dibatalkan oleh pihak berkuasa tempatan pada bila-bila masa tanpa memberi apa-apa sebab

Hujah yang digunapakai adalah PBT boleh guna Seksyen 107(2) untuk ‘tutup kilang’. 

Tidak dinafikan, kalau ikut Akta, PBT sememangnya mempunyai kuasa untuk membatalkan lesen PBT ‘pada bila-bila masa’. 

Tetapi walaupun PBT mempunyai budibicara untuk batalkan lesen, ianya bukanlah budibicara mutlak yang boleh digunapakai sewenang-wenangnya secara arbitari.

Pertama sekali, ‘tanpa memberi apa-apa sebab’ dalam Seksyen bukanlah ‘tanpa sebab’. 

Budibicara untuk batalkan lesen mestilah berkaitan dengan pelanggaran syarat-syarat dalam lesen yang diberikan, dan bukannya atas sebab perkara-perkara yang tiada kaitan dengan lesen itu. 

Satu anologi yang saya suka guna adalah mengenai lesen memandu yang dikeluarkan oleh JPJ. Lesen memandu boleh dibatalkan atau digantung oleh JPJ. Tetapi, JPJ tidak boleh membatalkan lesen memandu hanya kerana mahu menghalang orang daripada merentas negeri, atau keluar semasa PKP dilaksanakan.

Pembatalan lesen memandu dalam keadaan di atas tiada kena mengena dengan apa-apa pelanggaran punca kuasa iaitu Akta Pengangkutan Jalan dan melangkaui budibicara yang ada.. 

Sama juga dengan membatalkan lesen PBT kilang, ia harus berkaitan dengan pelanggaran mana-mana peruntukan di dalam Akta 171, syarat-syarat lesen dan undang-undang kecil PBT tersebut.

Oleh sebab itu, PBT sebenarnya tiada budibicara yang meluas dan mutlak untuk menggunapakai Seksyen 107(2) dalam hal ini. 

Jika diambil berita sebuah kilang pembuatan sarung tangan yang ditutup tempoh hari, jelas bahawa tindakan diambil di bawah Akta 342. Hanya satu kilang yang ditutup di bawah undang-undang kecil kerana tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah, dan ini dalam bidangkuasa PBT.

PBT ada diberi kuasa untuk menguatkuasa Akta 342, tetapi punca kuasa itu tetap daripada undang-undang Persekutuan. 
Sekiranya PBT bertindak melangkaui punca kuasa dan budibicara mereka yang terhad ini, mereka akan terdedah kepada tindakan saman Mahkamah.

Saya tidak mahu sentuh tentang prinsip-prinsip yang dipertimbangkan dalam judicial review (semakan kehakiman) secara detail, tetapi mana-mana peguam yang biasa mengamal dalam undang-undang administratif awam (public administrative law) akan tahu tentang alasan-alasan untuk mencabar tindakan mana-mana badan awam termasuk PBT. 

Ini yang saya sebut tentang ‘Rule of Law’. Semua badan Kerajaan tidak boleh berbuat sesuka hati hanya kerana sekilas pandang mereka ‘nampak’ seperti ada kuasa. ‘Rule of Law’, bukan ‘Rule by Law’.

Undang-undang kecil

Ada yang merujuk kepada Seksyen 73 Akta 171 dan Seksyen 102 Akta yang sama. Kedua-dua ini merujuk kuasa untuk membuat undang-undang kecil.

Pertama, ada rujukan Seksyen 102(s) Akta 171. Akan tetapi, jika diteliti ini adalah kuasa untuk membuat undang-undang kecil dalam PBT untuk mengawal jenis industri yang boleh memudaratkan awam atau menyebabkan kacau ganggu. 

Contohnya, PBT boleh larang, dengan undang-undang kecil, kilang buat racun toksik dekat dengan penempatan orang sebab ia mungkin boleh membawa mudarat. Ia bukan kuasa untuk ‘tutup kilang’, lebih lagi kilang-kilang yang memang sudah mempunyai lesen untuk beroperasi.

Seksyen 73 juga telah dipetik, tetapi sekali lagi ianya merujuk kepada kuasa membuat undang-undang kecil. Sekarang ini, Akta 342 memang digunapakai seluruh negara apabila seluruh negara diisytiharkan sebagai kawasan kawasan tempatan jangkitan sejak bulan Mac 2020 dan bidangkuasa untuk membuat peraturan-peraturan berkenaan dengan wabak Covid-19 tertakluk pada Kerajaan Persekutuan.  

Dalam apa jua keadaan sekalipun, kita harus faham bahawa undang-undang kecil ini adalah apa yang dipanggil ‘subsidiary legislation’ dan apa yang boleh dibuat adalah terhad. 
Undang-undang kecil yang dibuat oleh PBT tidak boleh bercanggah dengan Akta 342. Jika mengikut Akta 342 sesetengah jenis kilang boleh beroperasi, maka undang-undang kecil PBT tidak boleh ‘mengatasi’ Akta tersebut.

Undang-undang kecil tidak boleh digunakan untuk menutup kilang yang sememangnya sudah lesen untuk beroperasi. Undang-undang kecil tidak boleh beroperasi menarik hak yang telah diberikan dengan sah sebelum itu.

Apatah lagi sekiranya sudah ada undang-undang Persekutuan yang khusus seperti Akta 342 yang meliputi masalah khusus iaitu pengawalan penyakit berjangkit. 

Bidangkuasa Negeri

Akhir sekali, ada pihak yang juga membangkitkan bidangkuasa Negeri di dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Pertama, ingin saya katakan bahawa dalam keadaan di mana terdapatnya percanggahan di antara undang-undang Negeri dan undang-undang Persekutuan, undang-undang Persekutuan akan mengatasi undang-undang negeri. 

Kedua, pada ketika ini tiada enekmen mana-mana negeri yang telah digubal khusus untuk mengawal wabak Covid ini. Dan sebabnya jelas – kerana sudahpun ada Akta Parlimen yang khusus. 

Apatah lagi dalam keadaan Darurat sekarang, yang mana Dewan Undangan Negeri tidak boleh bersidang langsung. 

Oleh itu, hujah yang merujuk kepada Senarai bidangkuasa perundangan Persekutuan dan Negeri tidak membantu dalam merungkai permasalahan sedia ada.

Kesimpulan

Harus ditekankan bahawa Menteri Besar Selangor sudah berkali-kali meminta MKN supaya hanya kilang-kilang yang benar-benar perlu (essential) dibenarkan beroperasi, walaupun MITI telah membenarkan lebih banyak kilang dibuka. Ini bermakna Kerajaan Negeri sudah memohon untuk pelaksanaan SOP yang lebih ketat bagi Negeri Selangor dalam hal membabitkan kilang, tetapi tidak diendahkan oleh MKN. 

Jika memang boleh guna kuasa PBT, sudah tentu Kerajaan Negeri sendiri sudah tentu sudah pertimbangkan dan dinasihati oleh Penasihat Undang-undang Negeri mengenai perkara ini. 

Mengapa perlu meminta MKN jika Kerajaan Negeri boleh bertindak? Jawapannya, sebab Kerajaan Negeri sememangnya terikat dalam hal ini.

Saya tidak setuju bahawa Kerajaan Negeri berbuat sesuka hati, melanggar Rule of Law dan melangkaui bidangkuasa dan budibicara, mendedahkan diri kepada tindakan Mahkamah, semata-mata demi ‘political mileage’. 

Apa yang jelas adalah kaedah untuk menutup kilang dalam keadaan penularan wabak sekarang adalah melalui Akta 342, dan bukannya mana-mana kuasa PBT.

Mana-mana Kerajaan wajib bertindak dalam kerangka yang dibenarkan, dan menggunakan budbicara, sekiranya ada, dan bukan dengan sewenang-wenangnya.

Mana-mana Kerajaan mesti bertindak dengan bertanggungjawab, dan bukan untuk skor mata politik.

Syahredzan

No comments: