Perkongsian spontan tanpa kredit



Follow twitter saya @negaramerdeka

Sunday, June 26, 2016

Akhirnya Subky Latif veteran Pas nampak apa yang Mahathir sedang lakukan sekarang Jangan rendahkan sikap Mahathir!

SUBKY LATIF | 25 Jun 2016.

KITA mungkin tidak setuju dengan banyak tindakan Dr. Mahathir semasa dia jadi Perdana Menteri dan kita juga boleh berbeza pandangan dengannya yang hendak menggantikan PM Najib sebagai Perdana Menteri tetapi mahu mengekalkan Umno sebagai sistem pemerintahan.
     
Sikapnya masa berkuasa dulu ada kelemahannya, tetapi sekarang dia menentang satu pemerintah yang paling tidak bertanggungjawab kepada semua kecuali hulubalang berjiwa Hang Tuah saja.
    
Dulu Mahathir orang atas. Dia tidak nampak masalah orang bawah. Sekarang dia rakyat yang boleh ke atas dan ke bawah. Dia dapat melihat orang atas sebagai mana orang atas itu dilihat oleh orang bawah.
    
Sebagai bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno dia dapat semua yang dikehendakinya. Jawatan-jawatan yang berelaun puluhan ribu. Kerana dia rasa rakyat tertindas dan negara berada dijurang kehancuran, maka dia sedia tinggalkan semua yang diberi kepadanya.
   
Apa yang dibuatnya sekarang sama seperti yang Tunku Abdul Rahman, sebagai bekas Perdana Menteri buat selepas tidak jadi Perdana Menteri dulu. Seolah-olah tiada yang baik yang Tun Razak dan Tun Hussein buat dulu. Tunku naik pentas PAS dalam PRK Pantai Merdeka.
    
Apa Tunku buat dulu adalah satu tindakan prorakyat yang mahukan keadilan. Sekalipun dulu Mahathir tidak peka tentang keadilan, itu adalah kelemahannya dulu. Sekarang dia peka tentang keadilan yang diabaikan. Jika kelemahannya dulu tidak dikomen terbuka oleh Tun Hussein sebagai bekas PM. Itu adalah kelemahan Tun Hussein.
    
Sekarang Mahathir peduli rakyat macam juga Tunku peduli rakyat. Apabila dia peduli rakyat dan negara, mungkin kita tidak suka dengan kaedah yang digunakannya dan apa dia nak jadi selepas itu, maka tidaklah wajar tindakannya itu diremahkan. Boleh dia tidak disokong tetapi jangan perleceh sikap dan tindakannya  semata-mata kita geram padanya dulu.
    
Kelemahannya dulu kita masukkan dalam sejarah, tetapi tidak boleh dinafikan sikapnya pada masa negara diambang keruntuhan ini dibakul sampahkan saja.
   
Satu teguran dan tindakannya terhadap Najib lebih berkesan dari tindakan 500 biasa yang mengecam Najib. Berjaya atau tidak Najib digugurkan hal yang lain. Serangan Tunku terhadap Tun Razak, Tun Hussein dan Tun Mahathir dulupun tidak berjaya memenangkan PAS dalam PRK Pantai Merdeka. Tidak banyak juga yang Tunku dapat buat untuk menukar pimpinan masa itu.
   
Tetapi jangan kata Tunku buat kerja sia-sia! Maka jangan juga kata Mahathir buat kerja sia-sia sekarang.
   
Saya juga beranggapan menggantikan orang bukan menggantikan sistem seperti yang dipeloporinya sekarang. Tetapi keberanian, kesungguhannya  untuk menggantikan kerajaan yang ranggi dan tidak peduli rakyat wajar dihargai.
      
Jika dia pedulikan dirinya saja sekarang, dia tidak buat kerja yang menghilangkan puluhan ribu elaun sebulan. Jika pedulikan keluarganya saja, dia tidak buat kerja yang menyebabkan anaknya terbuang dari Menteri Besar Kedah.
    
Dia tahu dengan kegiatan anti Najibnya itu dia berkemungkinan tidak dipusarakan di Makam Pahlawan Masjid Negara nanti. Apa yang dibuatnya adalah sekali ganda kesannya dari apa yang pembangkang dan pengkritik Najib dapat  buat selama ini.
   
Tidak banyak kerugian bagi sekalian yang mengecam Najib, tetapi Mahathir rugi banyak. Selain dari hilang sebahagian pendapatan, dia dikecam dan dikutuk oleh Umno. Apa untungnya? Selain dari membela rakyat dan negara yang tertindas.
   
Boleh dia tidak disokong tetapi mensia-siakan tindakannya amat tidak patut. – HARAKAHDAILY 25/6/2016

No comments: