Perkongsian spontan tanpa kredit



Follow twitter saya @negaramerdeka

Friday, May 15, 2020

Lagenda politik yang akan terus dikenang sampai bila-bila. Al-Fatihah

Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor‬

‪‪Beliau adalah Presiden PAS 1989-2002 dan Ketua Pembangkang Parlimen 1999-2002. 

‪Pernah menjadi Timbalan Presiden ABIM dan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur.‬

‪Semasa PRU 1978, beliau menjadi calon PAS bagi dua kawasan — Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah, Kedah.‬

‪Ustaz Fadzil tewas dalam pilihanraya 1978 itu. ‬

‪Usai pilihanraya, beliau dilucut jawatan sebagai pensyarah UTM.‬ 

Ustaz Fadzil kemudian mengambil tindakan menyaman UTM.

‪Kalah pilihanraya dan hilang pekerjaan, hidup Ustaz Fadzil menjadi sukar tanpa pendapatan tetap.

‪Kesempitan hidup Ustaz Fadzil mendorongnya berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung keluarga.‬

Tak pula Ustaz Fadzil lompat parti atas alasan kesusahan beliau itu.

‪Bermula dengan perniagaan menjual kain dan mengambil barangan jualan dari Syarikat Jaffar Rawas Sdn Bhd yang terletak di tingkat bawah Bangunan PAS, Kota Bharu, Kelantan. ‬

‪Ustaz Fadzil dan Jaffar Rawas, tuan punya syarikat itu bersahabat akrab. Ustaz Fadzil, apabila mempunyai program parti di Kelantan, pasti akan singgah menemui Jaffar Rawas.‬

‪Setelah Ustaz Fadzil berhasrat menjalankan perniagaan, Jaffar Rawas menawarkan kepada Ustaz Fadzil mengambil barangan jualan secara kredit dari syarikatnya. 

Barangan jualan itu ialah kain-kain pakaian, terutama kain sarung lelaki dan kain batik wanita.

‪Dari Kota Bharu, barang jualan dibawa balik ke Alor Setar dengan kereta usang Ustaz Fadzil.‬

‪Sebaik tiba, Ustaz Fadzil akan memanggil sahabat lamanya, dikenali sebagai Pak Mat Jawa, untuk menjual barang jualan dari rumah ke rumah dengan basikal di sekitar kampung yang berdekatan di mukim Derga, Alor Setar.‬

‪Pak Mat Jawa, seorang miskin dan aktivis orang lama PAS, akan menjual barangan secara tunai. Secara berkala, beliau akan mendatangi Ustaz Fadzil di rumah untuk menyerahkan duit hasil jualan.‬

‪Perjanjian lisan antara Ustaz Fadzil dan Pak Mat Jawa ialah mereka berdua akan berkongsi keuntungan sama-rata setelah tolak segala kos.‬

‪Pak Mat Jawa seorang buta huruf. Apabila Ustaz Fadzil nak membuat pembahagian keuntungan kepada Pak Mat Jawa, caranya seumpama cerita wayang P. Ramlee.‬

‪Sambil membahagikan duit kertas satu persatu, Ustaz Fadzil akan berkata, “Hang sepuluh ringgit, aku sepuluh ringgit. Hang seringgit, aku seringgit. Hang sekupang, aku sekupang.” Begitulah cara pembahagiannya.‬

‪Kemudiannya, Ustaz Fadzil akan menyerahkan beberapa ikatan bungkusan barangan jualan yang baru kepada Pak Mat Jawa untuk dijualnya.‬

‪Ustaz Fadzil Mohd Noor menjalankan perniagaan melalui Pak Mat Jawa itu untuk selama beberapa bulan, sehinggalah Ustaz Fadzil menang kes saman UTM dengan memperolehi gantirugi RM100,000 di mahkamah kerana pemecatan sebagai pensyarah didapati tidak sah.‬

‪Walaupun, mahkamah memutuskan Ustaz Fadzil dipulihkan semula sebagai pensyarah, beliau memilih untuk menolaknya dan menjadi ahli politik sepenuh masa.‬

‪Bagi aku, Ustaz Fadzil adalah contoh terbaik pemimpin PAS yang tidak gusar menghadapi kesempitan hidup. 

Allahyarham cekal mencari rezeki dengan usaha dan kegigihannya. Bukan jawatan, kedudukan dan habuan dicari dan dikejarnya dalam hidup berjuang.‬

Allahyarham meninggal dunia pada 23 Julai 2002.‬

Alfatihah.

No comments: