http://wrlr.blogspot.com/2012/02/kroni-umno-di-cabar-beli-tanah-di-bayan.html
GEORGE TOWN, 15 FEB: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang (Pakatan) mencabar Umno atau kroni-kroninya untuk membeli tanah seluas 102.6 ekar di Bayan Mutiara pada harga RM420 sekaki persegi memandangkan sebelum ini mereka mendakwa nilai tersebut merupakan harga pasaran.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri boleh menerima RM1.873 bilion berbanding dengan RM1.07 bilion yang diterima pada harga RM240 sekaki persegi jika Abdul Rahman atau kroni-kroni Umno boleh membayar RM420 sekaki persegi.
"Abdul Rahman harus menunjukkan bukti bahawa tanah itu telah dijual secara rundingan. Projek ini telah melalui tender terbuka yang diiklankan dalam suratkhabar.
"Jika harga pasaran tanah di Bayan Mutiara adalah RM420 sekaki persegi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mencabar Umno atau kroni-kroninya untuk membeli 102.6 ekar tanah di Bayan Mutiara pada harga RM420 sekaki persegi," katanya.
Tegasnya, jika Umno atau kroni-kroninya tidak berani menyahut cabaran dan membeli tanah ini pada harga RM420 sekaki persegi, maka mereka dibuktikan sebagai penipu.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Umno Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan begitu terdesak ingin mengaitkan Kerajaan Negeri Pakatan dengan skandal yang tidak berasas.
Beliau mendakwa bahawa kerajaan negeri tidak menjualkan 102.6 ekar tanah secara tender terbuka tetapi dengan cara rundingan pada harga yang rendah iaitu RM240 sekaki persegi dan bukan harga pasaran RM420 sekaki persegi.
Tambah Guan Eng, pimpinan Umno yang lain juga telah menipu bahawa Ivory Properties Group Bhd, pemaju yang telah memenangi tender terbuka, telah dikecualikan daripada pembinaan perumahan kos sederhana rendah di kawasan pulau dan dibenarkan untuk membina perumahan tersebut di Batu Kawan. 
Umno turut mendakwa bahawa tidak ada kawasan yang diperuntukkan untuk sekolah atau surau.
"Itu semua fitnah belaka. Pihak pemaju tidak diberi apa-apa pengecualian dan dikehendaki untuk membina perumahan kos sederhana rendah di kawasan Pulau serta memperuntukkan tanah untuk sekolah-sekolah dan tempat-tempat beribadat seperti yang disyaratkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
"Projek perumahan yang melibatkan hampir 12,000 unit rumah mampu milik di Batu Kawan adalah inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai tambahan kepada perumahan kos sederhana rendah yang mesti dibina oleh Ivory," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah menggunakan keuntungan RM500 juta daripada penjualan tanah di Bayan Mutiara untuk membina perumahan mampu milik di kawasan pulau dan juga di Batu Kawan.
Katanya, ini adalah jumlah "one-off" yang terbesar pernah diperuntukkan oleh mana-mana kerajaan negeri untuk perumahan mampu milik di Malaysia.
"Projek Batu Kawan merangkumi 12,000 unit rumah mampu milik dan akan menjadi perumahan mampu milik berkualiti yang terunggul di Malaysia. Kerajaan Negeri Pulau Pinang percaya bahawa golongan berpendapatan rendah di Pulau Pinang layak hidup dalam rumah dan bukan "kotak" supaya anak-anak mereka boleh membesar dengan sihat dan selamat.
"Daripada meniru yang terbaik, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik perancang perumahan mampu milik yang paling terbilang di dunia - Housing Development Board (HDB) Singapura," katanya.
Jelas Guan Eng, perlantikan HDB Singapura hanya untuk merancang dan mereka bentuk perumahan mampu milik berkualiti yang terunggul di Malaysia sementara kerja-kerja pembinaan pula akan diberikan melalui tender terbuka kepada kontraktor-kontraktor tempatan.
Beliau menegaskan, dakwaan Umno bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih mempercayai kontraktor Singapura berbanding dengan kontraktor tempatan dalam pembinaan rumah mampu milik adalah tidak benar sama sekali kerana kerja-kerja pembinaan belum lagi ditawarkan lagi.
Sungguhpun begitu, Kerajaan Negeri tidak akan memohon maaf kerana melantik HDB Singapura sebagai perunding perancang kerana mereka merupakan pereka bentuk perumahan mampu milik berkualiti yang terunggul di dunia.
"Kenapakah apabila firma Singapura datang ke Iskandar Johor, mereka dialu-alukan dan disanjung tetapi apabila firma Singapura datang ke Pulau Pinang mereka diserang dan dikritik?
"Dwistandard oleh UMNO ini jelas bermotif politik untuk mengapi-apikan sentimen perkauman di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada serangan perkauman dan akan berdiri teguh dalam objektif untuk menyediakan perumahan mampu milik yang terbaik di Malaysia untuk semua rakyat Pulau Pinang, tidak kira kaum atau agama, dengan melantik pihak yang terbaik di dunia untuk membantu kita," katanya.
No comments:
Post a Comment