Alhamdulillah, syukur syukur, berkesempatan lagi kita menyambut bulan yang mulia, bulan pilihan Allah SWT untuk menzahirkan Junjungan Nabi SAW ke alam dunia, membawa rahmat bagi sekalian alam. Bulan yang penuh kebajikan yang terbentang luas, hanya tinggal memetiknya bagi sesiapa yang berkehendak, bak kata Shahibul Mawlid al-Habib `Ali bin Muhammad al-Habsyi rahimahullah:
موائد الخير مبسوطة لمن بايرد * في شهر فيه النبي المختار ولد
"Jamuan-jamuan kebajikan terbentang luas bagi sesiapa yang mahu; Dalam bulan padanya Nabi Pilihan dilahirkan."
Telah jadi adat kebiasaan umat Islam di seantero dunia untuk berlebih - lebih lagi dalam mengenang dan memperingati Junjungan Nabi Rahmat Sekalian Alam pada bulan kelahiran baginda ini. Imam Mulla `Ali al-Qari dalam "al-Mawrid ar-Rawi fi Mawlid an-Nabi SAW" halaman 29 menyatakan bahawa : "Telah menjadi kebiasaan para penduduk Madinah al-Munawwarah (rahimahumullah) untuk mengadakan dan menghadiri majlis-majlis mawlid dengan penuh semangat dan keikhlasan sempena sambutan Mawlid yang mulia." Sehingga kini, walaupun di bawah penjajahan Wahabi, penduduk kota Madinah tetap mengadakan sambutan Mawlidur Rasul secara tertutup di kediaman - kediaman mereka. Moga Allah memberikan kebebasan kepada mereka untuk menyambutnya secara terbuka sebagaimana sebelumnya. Dan semoga Allah menimpakan kehinaan kepada mereka-mereka yang membenci majlis-majlis di mana Junjungan Nabi SAW disanjung dan dipuji.
Makanya, dengan memperingati baginda dan bersholawat kepadanya, kita memperolehi balasan shalawat daripada Allah SWT, para malaikatNya dan juga jawapan daripada Junjungan Nabi SAW. Allahu ... Allah, apa ada ganjaran yang melebihi sedemikian ? Marilah kita berusaha untuk menghadirkan diri kita dalam majlis-majlis mawlid di mana kisah-kisah keagungan Nabi Junjungan dibaca, puji-pujian kepada Allah dan rasulNya dilantunkan serta dihiasi ucapan zikrullah, sholawat dan salam ke atas baginda. Sungguh majlis-majlis seumpama ini penuh dengan pelbagai hidangan kebajikan berupa pengajaran, tazkirah, zikrullah, sholawat dan salam yang sarat berintikan mahabbah kepada Junjungan Rasulullah SAW. Tak perlulah kita ambil pusing kepada suara-suara sumbang yang mengharamkan sambutan mawlid manusia agung ini. Biarlah mereka dengan alam mereka. Kalau mereka menuding jari membid`ahkan amalan kita, maka mereka juga tidak kurang bid`ahnya kerana mereka juga mengadakan peringatan demi peringatan terhadap idola mereka seperti Bin Wahab dan Ibnu al-Utsaimin. Inilah dikatakan oleh tok nenek kita, mengata dulang paku serpih. Siapakah idola mereka berbandingkan Junjungan Nabi SAW ?????Makanya biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya. Shallu `ala Nabiyyikum ......
******************************************
Wulidal Musyarraf
http://bahrusshofa.blogspot.com
No comments:
Post a Comment