Kerajaan perlu bertindak luar biasa. Sudah 16 bulan lamanya kita berPKP. Di tampung dengan Darurat pula lagi. Namun, apa yang berubah? Dengan darurat nak kerah swasta pun tak dibuat-buat. Apatah lagi moratorium penuh, yang menterinya bercakap seolah-olah mewakili bank, bukan mewakili rakyat.
Jangkitan masih begitu, beribu-ribu. Kematian setiap hari berlaku, bukan hanya kerana Covid, tetapi juga kerana tekanan hidup kerana kehilangan kerja dan sumber pendapatan. Hutang semakin meningkat. Perniagaan sudah banyak yang gulung tikar. Diulang. Peniaga sudah banyak yang tutup kedai kerana tak mampu menanggung kos operasi.
Kita belum nampak sinar bahagia di hujung terowong sampai kini. Yang banyak adalah kegelapan yang membawa berita derita dan bala. Lagi seminggu, bagaimana? Masih disambung PKP? Tak boleh rentas daerah, apa lagi negeri? Mudahlah solusi begini. PKP, kemudian PKP lagi, tak surut, tambah PKP lagi. Sampai kering darah dan daging rakyat tinggal belulang.
Yang bikin dasar dan gubal SOP, kerjanya enteng, hari-hari tengok data kering, tak perlu jenguk manusia di lapangan yang semakin hari semakin gering. Mana mereka nak faham derita perut yang gemerencing?
Sebab itu kita mahukan kerajaan bertindak luar biasa. Bukan PKP yang seperti biasa. Kita mahukan pelan pemulihan sekarang, bukan "pelan-pelan" kayuh. Rakyat mahu hidup. Hidup sahaja. Bukan mahu kaya-raya macam para elitis yang bilionannya semakin bertimbun di tengah kebuluran rakyat. Tak mengapalah mereka kaya, itu rezeki mereka. Tapi soalnya, rakyat juga berhak untuk hidup tanpa takut dan tanpa khuatir.
Cukuplah dengan idea PKP yang tak berkesudahan ini. Fikirkanlah sesuatu yang lebih kreatif. Jangan tanya kami. Nun di luar sana ada ramai ilmuan cerdik pandai, dan pakar perubatan sedang menyuarakan pandangan secara bebas. Buanglah ego, dan timbangkan pandangan mereka, dan laksanakan yang terbaik.
Huh, kalau nasihat Tuanku YDPA pun boleh ditepis-tepis, apalagi pandangan marhaen seperti kita. Tapi itulah, you asked for it!
#shmkritiksosial
-Sahul HM-
No comments:
Post a Comment