Dulu gua pernah tulis, bagaimana kawan-kawan yang menonton berita terdengar pasal kemalangan nyawa. Dan kemudiannya tahu bahawa mangsa kemalangan bukan berbangsa Melayu. Serta merta mereka akan mengalih arah "ohhh Cina, lantak lah pun" atau pun "ohhh India, aku ingatkan Melayu tadi". Serius, gua tidak bikin cerita. Dan kebanyakan mereka juga adalah kumpulan yang selalu datang kerja lambat tapi akan mengeluh apabila terpaksa bekerja lebih. Gaji tetap mahu banyak, tapi kerja biar sedikit.
Apakah kerana gua sahaja yang kebetulan bertemu dengan kumpulan manusia rasis sedemikian? Atau gua kurang bercampur dengan bangsa lain? Tapi kenapa bangsa lain yang gua kenal, yang gua rapat, kesemua mereka tidak punyai sikap sedemikian? Atau mungkin mereka segan untuk bersikap demikian di depan gua?
Tapi Melayu tidak segan. Buktinya, guru besar di sekolah wife gua mengajar, adalah antara manusia rasis yang pernah gua kenali. Walaupun gua tidak pernah berbual bersama, tapi tindakannya yang anti-bangsa bukan Melayu, anti kepada guru-guru bukan Melayu buat seolah gua pernah membedah tubuh dan melihat kehitaman hatinya. Mengapa boleh jadi begitu? Salah didikan? Faktor persekitaran? Atau sebab keahlian UMNO? Baiklah, mungkin itu kes terpencil dan anon-anon yang memekik dahulu mungkin berkata, apakah tiada bangsa Cina dan India yang rasis?
Memang ada. Mungkin gua belum pernah berjumpa. Tapi, jika kita tahu bahawa najis itu busuk dan kotor, adakah kita juga perlu memegangnya ketika terdapat sekelompok kecil yang menyentuhnya? Tak faham? Mungkin akal kamu, belum sampai kepada peringkat pemahaman benda-benda mudah seperti ini. Sama seperti Perdana Menteri kamu, yang satu ketika dahulu ditanya seorang wartawan Amerika, mengapa masih berterusan menahan tanpa bicara menggunakan ISA dan menjawab bahawa Amerika juga perlu bertanya mengapa mereka berterusan memenjarakan tahanan di Guantanamo? Bukankah itu bodoh dan bebal namanya? Sudah tahu najis itu busuk, tapi tetap juga dihidu.
Berbalik kepada anon, yang mengatakan sepupu sepapatnya, telah menjadi mangsa diskriminasi, di Temasik. Betul, diskriminasi memang wujud. Di depan Kaabah pun wujud diskriminasi. Di depan rumah Allah yang sepatutnya tiada sebarang perbezaan antara yang miskin dan kaya, gua terpaksa juga berhempas pulas merebut peluang mencium Hajar Aswad sedangkan mereka yang kaki rasuah, merampas tanah rakyat dan menyamun harta negara, dengan selesa diberi laluan untuk menciumnya. Bukan sekali. Apakah bukan diskriminasi itu?
Jadi, jika pun diskriminasi itu wujud, apakah kita perlu untuk terus menghidupkannya? Sebab itu dalam entri sebelum ini, gua mahu anon-anon itu melihat ke dalam diri sendiri, sebelum menuduh bangsa lain itu menindas bangsa Melayu. Berapa tahun UMNO sudah memerintah Malaya, dan berapa tahun Pulau Pinang diperintah oleh Gerakan? Apakah kehilangan tanah-tanah rezab Melayu di Pulau Pinang itu berpunca daripada Lim Guan Eng? Apakah mesti bangsa-bangsa Melayu di Temasek itu kehilangan monopoli mereka disebabkan oleh dasar diskriminasi Lee Kuan Yew? Mengapa apabila kita lemah, kita sering menyalahkan orang lain? Bangsa Melayu, yang rasis itu, bila lemah akan menuding jari menyalahkan Cina. Menyalahkan India. Menyalahkan bangsa lain dan tidak pernah melihat ke dalam susuk tubuh jiwa hati yang hitam yang wujud dalam diri kita sendiri. Mengapa?
Untuk anon-anon itu, apa yang berlaku di Temasek itu ialah dasar kesamarataan. Diskriminasi memang wujud dan ia juga wujud di mana sahaja di atas bumi Allah ini. Itu salah manusia. Tapi kemunduran bangsa Melayu di Temasek bukan berpunca secara total daripada diskriminasi. Anon yang malas membaca dan bebal untuk berfikir, tidak tahu kewujudan menteri Melayu bernama Dr. Yaacob Ibrahim. Betul dia berkahwin dengan bangsa asing, dan itu bukan satu larangan dalam Islam. Adiknya Zuraidah Ibrahim pula ialah Foreign Editor untuk The Straits Times. Mereka boleh berjaya di sebalik prasangka buruk orang-orang Melayu rasis di Malaya yang mengatakan bangsa Melayu di Temasek melarat, menjadikan Temasek contoh kegagalan Melayu untuk berkuasa dan bla,bla,bla.
Anon yang malas membaca juga, tidak tahu, bahawa di sebalik diskriminasi dan prasangka buruk, rasis serta khianat bangsa Melayu di Malaya itu, kerajaan Temasek hanya mengenakan yuran persekolahan sebanyak SD5 kepada anak-anak Melayu di sekolah rendah tetapi SD17 untuk bangsa Cina dan lain-lain. Untuk sekolah menengah anak Melayu cuma perlu membayar yuran SD17.50 sahaja sedangkan anak-anak Cina yang anon-anon itu bencikan terpaksa membayar SD50. Itu adalah sebahagian daripada perjanjian yang telah Lim Kuan Yew tandatangani pada tahun 1965, dan sehingga ke hari ini - ketika anak-anak Melayu di Malaya, yang diperintah UMNO, yang rasis dan membela ketuanan Melayu dengan darah dan kerisnya terpaksa berdepan kenaikan yuran-yuran pembelajaran, penswastaan institusi pendidikan atas nama kemajuan kononnya – anak-anak Melayu di Temasek terus mendapat keistimewaan pendidikan itu. Kalau bebal dan balas membaca memang sampai dalam lubang kubur maklumat seperti ini tidak diterima.
Diskriminasi wujud, memang wujud tetapi ia seperti najis, yang busuk. Hanya manusia bebal dan bengap sahaja sanggup menghidunya. Bukan sahaja Melayu yang rasis, Cina, India, Arab atau siapa sahaja yang mengamalkan rasis dan diskriminasi seperti ini, tetap busuk, tetap najis.
Jadi apa yang tinggal untuk anak-anak Melayu itu? Mereka perlu bersaing. Mereka perlu merebut peluang. Segalanya sudah disediakan. Jika kamu bebal di Malaya, tapi bapa kamu seorang Datuk dan membayar yuran keahlian UMNO, kamu tetap punyai peluang cerah ke menara gading. Lagi cerah apabila kamu berstatus Melayu. Tapi di Temasek itu, jika kamu bengap, kamu akan ketinggalan. Jika kamu malas, wahai anon-anon sekalian, mahu gaji lebih kerja sedikit, kamu memang akan menjadi sampah diskriminasi. Campakkan kepada bangsa mana sekalipun, malas dan bengap akan terus dipijak.
Satu ketika, warga Melayu di Temasek mempersoalkan, mengapa kakitangan kerajaan yang beragama Islam terus dipotong SD7 daripada gaji bulanan mereka, atas nama pembangunan masjid. Sedangkan ketika solat Jumaat, derma untuk masjid-masjid terus dipinta, terus ditagih. Tahukah kamu wahai anon-anon bahawa SD7 itu lebih kurang RM15? Sebulan. Untuk masjid. Kamu Melayu yang bersolat sambil menjamu selera di warung-warung beriyani dan kemudian melihat demonstrasi ubat membesarkan zakar itu, berapa yang kamu beri sebulan?
Jadi kerajaan mereka menjawab, masjid-masjid terus dibina. Dan setiap penempatan memang tersedia masjid. Penyelenggaraan juga memerlukan wang. Dan hasilnya mereka berpuas hati dengan kemudahan yang mereka miliki, untuk beribadah. Anon, mengapa kebanyakan tandas masjid di Malaya agak kurang bersih? Ah, biarkan jawapan itu dalam diri kamu yang rasis itu sahaja. Kamu akan salahkan Cina-cina yang datang singgah buang air di masjid.
Pada hari ini, sebuah bangunan kuarters hospital telah didirikan di Petaling. Sekolah Menengah Undang Jelebu juga telah mengambil alih kawasan bersebelahan hospital itu. Bukit yang dulunya, kawan gua cakap kubu komunis itu, telah rata menjadi padang. Gua pernah bermain bola di padang itu dan rasanya tiada kalangan kami yang tersepak mortar atau pun muncung senapang. Gua tidak tahu apa yang terjadi kepada kawan gua yang membawa cerita itu. Tapi, kisah-kisah seperti itu terus wujud, sampai ke hari ini. Temasek dan Cina terus dilihat sebagai musuh. Temasek sering dijadikan contoh kegagalan bangsa Melayu. Sedangkan, Malaya tempat gua dilahirkan itu, diperintah oleh seorang Melayu, tapi bangsa gua, bangsa Melayu itu, masih lagi terus terumbang ambing, hanya berbangga dengan namanya, hanya tahu mencaci bangsa lain atas kelemahan dirinya, tanah-tanahnya terus dirampas oleh pemimpin-pemimpin bangsanya sendiri dan bangsa Melayu itu masih terus diperbodohkan oleh kerja-kerja jahanam, pemimpin-pemimpin Melayu itu sendiri.
Sumber: jordan2jelebu.blogspot.com
1 comment:
unitd again racist... gua sebagai makhluk TUHAN no racist racist,,, gua harap lu setu7ju dengan gua,,,,,!!!
Post a Comment