Saudara-saudari,
Minta digunakan artikel oleh Sdr. Sivarasa, elok sebagai leaflet di Mahkamah dan tempat lain. Panjang tapi penting - lebih ramai yang maklum fakta sebenar, lebih baik.
Terima kasih.
BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
ANWAR IBRAHIM – KONSPIRASI NOMBOR DUA
Hanya sebelas tahun semenjak Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri, beliau menerima tamparan dengan dakwaan liwat dan seolah-olahnya tuduhan rasuah (penyelewengan kuasa). Beliau berdepan dengan dua perbicaraan yang dikutuk seluruh dunia sebagai perbicaraan tidak adil dan bermotivasikan kepentingan politik pihak tertentu. Hasilnya beliau menghabiskan enam tahun dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh, dikurung bersendirian selama pemenjaraan hanya dibenarkan bertemu dengan ahli keluarga dan para peguam sahaja. Akhirnya bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad mendapat hukuman setimpal dengan berat hati dipaksa bersara pada bulan Oktober 2003. Kemudiannya Anwar dibebas dan dilepaskan pada 2 haribulan September 2004 pada tahap terakhir rayuannya di mahkamah mengubah penghakiman kes liwatnya.
Sekarang mimpi ngeri itu bermula lagi. Pada 16 Julai 2008, Anwar ditangkap atas tuduhan kes liwat yang baru, selepas suatu laporan polis dibuat oleh Saiful Bukhari, pembantu berpangkat rendah dalam pejabatnya pada 28 Jun 2008. Anwar berkata tuduhan ini, sekali lagi bermotifkan politik, sebagai cubaan terbaru untuk menghalang kerjaya politiknya yang kembali bangkit mendadak kegemilangannya. Ramai orang di dalam dan di luar negara bersetuju dengan penilaian ini.
Kes terbaru ini hanyalah ulang tayang skrip lama dengan para pelakon yang baru - skrip sekarang ini juga menampilkan episod-episod campurtangan politik, kecurangan dan penyelewengan para pegawai di pejabat Peguam Negara dan pihak polis, penipuan bukti-bukti yang muncul daripada suatu konspirasi politik untuk menghentikan kerjaya cemerlang politik Anwar.
Kes hairan yang benar-benar pelik
Terdapat banyak fakta terhadap dakwaan yang dibuat Saiful dan tindak tanduknya yang sudahpun berada dalam pengetahuan orang ramai. Fakta-fakta ini bercakap dengan sendirinya. Secepatnya ia menunjukkan betapa tidak kukuhnya kes yang direka-reka ini, selain bertujuan menjatuhkan Anwar.
Saiful mendakwa dalam laporan polisnya bertarikh 28 June 2008 di Hospital Kuala Lumpur ("HKL") yang dia diliwat Anwar pada tengahari Khamis 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Bukit Damansara. Saiful bercerita kepada pihak polis dalam kenyataannya yang mendakwa dia telah diserang paksa sebanyak 8 ke 9 kali tanpa kerelaan hatinya oleh Anwar sepanjang dua bulan yang berlalu itu. Dalam laporan polisnya dua hari kemudian pada 28 Jun 2008, dia mendakwa kejadian liwat ini memang berlaku tanpa kerelaan hatinya.Cerita Saiful ini menimbulkan kecurigaan kenapa dia sebagai kononnya "si mangsa"yang dipaksa liwat 8 ke 9 kali tanpa kerelaan hatinya, selama dua bulan tetapi tidak membuat sebarang aduan kepada pihak berkuasa. Sepanjang waktu itu dia berhubungan secara biasa dengan Anwar dan kesemua kakitangan di pejabat Anwar Ibrahim.
Turut didedahkan pada Rabu 25hb Jun 2008, sehari sebelum serangan seksual terakhir pada hari Khamis keesokan harinya, Saiful telah bertemu dengan pegawai polis berpangkat tinggi Penolong Kanan Komisioner SAC Rodwan Mohd Yusof (waktu iti Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Pasukan Polis DiRaja Malaysia, sekarang Ketua Polis Melaka) di Hotel COncorde, Kuala Lumpur di bilik bernombor 619. Apabila ditanya wartawan tentang pertemuan ini, Rodwan tidak memberikan sebarang komen. Rodwan telah memainkan peranan penting bersama pasukan polis dalam kes Anwar tahun 1998/99 dahulu. Rodwan terkenal dengan peranannya mengambil sampel darah Anwar untuk ujian DNA tanpa mengikut lunas undang-undang. Dia juga terkenal dengan tuduhan meletakkan kesan DNA yang direka-reka pada tilam yang diusung ke mahkamah. Sewaktu perbicaraan pertamanya pada tahun 1998, bukti DNA tidak dapat dipakai hinggakan hakim Augustine Paul yang jelas berat sebelah terpaksa membuang bukti tersebut daripada membantu kes pendakwaan.
Umum juga telah didedahkan "si mangsa" ini telah juga bertemu dengan Perdana Menteri sekarang (waktu itu masih Timbalan Perdana Menteri) beberapa hari sebelum kejadian yang didakwa itu berlaku. Apa yang lebih menarik lagi tentang pendedahan ini Najib pada awalnya menafikan pertemuan dengan Saiful kepada pihak media, tetapi kemudiannya mengakui, menjelaskan pertemuan itu berlangsung kerana Saiful (gagal dari universiti, tidak habis belajar) meminta bantuan Najib untuk mendapatkan biasiswa. Selepas itu barulah Najib memberi tahu pihak media bahawa Saiful diliwat Anwar dan dalam pertemuan tersebut Saiful kelihatan cukup traumatik.
Tindak tanduk Saiful selepas kononnya dipaksa liwat pada hari Khamis turut menimbulkan tanda tanya. Pagi besoknya, Saiful ke pejabat Anwar seperti biasa. Dia tidak mengadu kepada sesiapapun dan muncul dalam keadaan yang normal.Pada sebelah petangnya dia menghadiri acara anjuran Anwar Ibrahim Club di rumah Anwar, yang mana Anwar sendiri turut hadir. Di sana dia membantu menghidangkan kopi kepada sedozen orang yang hadir, tanpa memperlihatkan tanda-tanda takut atau cemas, dia mampu berdiri dan duduk tanpa menunjukkan tanda-tanda ketidak selesaan.
Pada hari Sabtu berikutnya, pada sebelah tengahari, kira-kira jam 2 petang, Saiful memutuskan untuk pergi ke hospital swasta Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) di Jalan Tun Razak. Di situ, dia mengadu kepada Dr. Osman yang dia merasa sakit di dalam lubang duburnya selama beberapa hari dan kelihatannya dia merasa seperti ada bahan "plastik" yang dimasukkan. Pemeriksaan protoskopi (menggunakan alat protoskop yang bertujuan memeriksa hujung lubang dubur) oleh Dr. Osman menunjukkan tidak ada tanda-tanda penembusan atau kemasukan dan keadaan normal dubur dan rektum hujung usus.
Selesai pemeriksaan, dia memberitahu Dr. Osman yang dia diliwat oleh VIP (orang kenamaan) dan Saiful telah dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan di hospital kerajaan. Meskipun HKL hanyalah terletak di seberang jalan, Saiful mengambil masa selama dua setangah jam untuk sampai ke sana. Di HKL, dia melaporkan yang dia diliwat, dia kemudiannya diperiksa oleh oleh tiga orang doktor pakar, yang mana bukanlah suatu prosedur yang biasa. Ketiga-tiga doktor tersebut dalam laporan rasmi mereka menyebut, "tidak ada rumusan hasil pemeriksaan klinikal yang dengan pasti dapat mencadangkan penembusan ke dalam lubang dubur ..." sekali lagi ia menguatkan kesimpulan yang dibuat Dr. Osman.
Sesiapapun yang menjadi penyiasat dengan sifat waras akan memahami bahawa pertuduhan liwat tidak akan ke mana-mana dalam keadaan bukti perubatan sejelas itu. Tiada seorangpun penyiasat yang waras akan meneruskan kes pendakwaan. Di sini kita melihat perkara yang sebaliknya berlaku. Pasukan penyiasat bersungguh-sungguh, biarpun bukti perubatan menunjukkan tidak ada penembusan terhadap lubang dubur. Sifat hasad berniat jahat dalam penyiasatan mengukuhkan lagi kewujudan motif politik disebalik tindakan mereka.
Penyiasatan kes ini diteruskan biarpun hasil laporan pemeriksaan perubatan telah diserahkan dengan serta-merta kepada para penyiasat polis. Spesimen yang diambil dengan pengelap daripada Saiful menimbulkan syak wasangka kerana ia mengambil masa dua hari untuk sampai ke makmal untuk dianalisa. Sekarang kita tahu bahawa pihak pendakwaan akan bergantung kepada bukti DNA dalam cubaan untuk membuktikan Anwar terlibat dalam tindakan meliwat Saiful tanpa kerelaannya.
Bagaimana seorang tua dengan sakit belakang dapat memaksa seorang jejaka yang tinggi dan tegap berusia 24 tahun, boleh menjadi soalan yang menarik untuk dijawab para pemerhati politik sepanjang perbicaraan ini.
Soalan lain yang menarik ialah dalam keadaan bukti kukuh perubatan yang menyatakan pemeriksaan klinikal tidak menemui malah untuk mencadangkan penembusan, kurangnya wibawa laporan DNA yang cuba menunjukkan DNA Anwar ditemui didalam lubang dubur Saiful. Perlu diingatkan bahwa bukti DNA sangat mudah untuk direka atau ditambah-tambah, khususnya jika kerja-kerja mereka-reka tambah bukti ini dilakukan oleh para penyiasat yang sama dalam perbicaraan 1998 dahulu.
Contoh-contoh bukti yang direka-reka bagi mengenakan Anwar
Ini bukan kali pertama, kes yang melibatkan Anwar untuk fenomena bukti yang direka-reka muncul. Kes 1998 dan 1999 penuh dengan kejadian pengakuan yang dirancang, bukti DNA yang direka-reka dan penyembunyian bukti pada pihak polis dan para pendakwa kanan yang terlibat.
Beberapa contoh dapat diberikan. Gani Patail merupakan salah seorang Pendakwaraya Kanan dalam kes Anwar pada tahun 1998 telah didedahkan pada tahun ini sebagai mereka-reka bukti perubatan dalam bentuk laporan perubatan. Ianya berhubung penyiasatan serangan terhadap Anwar pada malam 20 September 1998 bilamana Anwar telah diserang secara ganas oleh Rahim Noor. Setelah dunia melihat mata lebam Anwar, wujud desakan dan barulah diikuti dengan penyiasatan polis. Pegawai Penyiasat dalam kes tersebut, Dato Mat Zain telah mengesahkan hal ini dalam suratnya kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bertarikh 15 April. Menurut surat itu, Gani Patail dengan bersungguh-sungguh mereka-reka bukti laporan perubatan dengan dibantu Musa Hassan (sekarang Ketua Polis Negara) dalam cubaan untuk cuba mencadangkan kecederaan Anwar dilakukan oleh dirinya sendiri. Dr. Mahathir kemudiannya mengumumkan kepada awam tentang kecederaan tersebut dilakukan oleh Anwar sendiri.
Pembentukan bukti rekaan terhadap Anwar juga berlaku dalam kes-kes dan orang-orang yang lain. Gani Patail didakwa terbabis mengancam Nallakaruppan dengan hukuman bunuhbagi memaksa dirinya memberi keterangan palsu terhadap Anwar. Hal ini didedahkan dalam akuan bersumpah yang dibuat peguam Nallakaruppan, Manjeet Singh Dhillon yang merupakan saksi langsung cubaan mengugut oleh Gani Patail bagi mendapatkan bukti palsu terhadap Anwar.
Hakim Mahkamah Persekutuan Steve Shim dalam kes Zainur Zakaria lawan PP [2001] 3 CLJ ada menyatakan bahawa permohonan Anwar untuk membatalkan Gani Patail dan Azahar sebagai pendakwaraya kanan kerana penglibatan mereka dalam mengancam Nallakaruppan dengan hukuman bunuh bagi mendapatkan bukti rekaan yang diinginkan:
"Dalam keadaan ini, apakah beliau ("Anwar") dianggap tidak wajar atas asas ianya melampaui keraguan munasabah untuk membuat aduan bahawa tindak tanduk Peguam Negara (Gani Patail) sewaktu pertemuan pada 2 Oktober 1998 dalam cubaan memaksa Nalla untuk mereka-reka bukti bagi menyempurnakan tuduhan terhadap Anwar untuk kes kesalahan seksual yang lain?"
Namun Hakim Augustine Paul tidak bertindak untuk membatalkan kelayan Gani Patail dan Azahar. Malah Augustine mendapati peguambela Anwar, Zainur Zakaria bersalah sebagai menghina mahkamah kerana memfailkan permohonan pembatalan kelayakan tersebut dan menjatuhkan hukuman 3 bulan penjara. Gani Patail terus mendaki puncak kekuasaan menjadi Peguam Negara. Azahar pula menjadi Hakim Mahkamah Tinggi. Malaysia Boleh!
Sukma, adik angkat Anwar, ditangkap pada September 1998 dan ditahan tanpa ada perhubungan dengan peguam dan keluarga selama 14 hari. Permohonan peguamnya untuk bertemu dengan Sukma ditolak. Dia disiksa secara mental dan fizikal sehinggalah dia membuat pengakuan melakukan liwat dengan Anwar. Pegawai polis yang dinamakan dalam penghakiman Mahkamah Rayuan sebagai bertanggungjawab dalam penyiksaan ini ialah Musa Hassan, sekarang Ketua Polis Malaysia. Pemeriksaan fizikal oleh Dr. Zahari Noor menunjukkan tidak ada bukti penembusan - laporan ini diketahui oleh pihak pendakwaraya yang menyembunyikannya daripada pengetahuan mahkamah, saat Sukma mengaku "bersalah" hanya berasaskan pengakuan yang dipaksakan itu. Peguam yang dilantik keluarga Sukma tidak dibenarkan bersuara mewakili anak guamnya setelah dibantah oleh pihak pendakwa raya ( Gani Patail and Yusuf Zainal Abiden ).
Mahkamah Rayuan dalam penghakiman bertulisnya pada Jun 2006 dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja v PP [2007] 4 CLJ 697] menyatakan:
"Di sini kita ada kes kelakuan sumbang pihak pendakwaan dengan secara sengaja menyembunyikan bukti yang memenangkan pihak pembelaan. Tidak ada lagi kes ketidak adilan sejelas ini, apabila pengakuan bersalah didakwa didapatkan dengan cara tekanan yang tidak sah di sisi undang-undang."
Penangkapan dan penahanan Dr Munawar Anees juga sama seperti yang terjadi kepada Sukma, dia ditahan tanpa dapat berhubung dengan peguam dan keluarga, disiksa dan dipaksa membuat pengakuan palsu melakukan liwat dengan Anwar. Malang bagi dirinya, kesemua mahkamah yang dirayu tidak memenangkan kesnya.Hakim-hakim seperti Low Hop Bing J di Mahkamah Rayuan bersama hakim Zaki Tun Azmi ( Ketua Hakim sekarang), Zulkefli Makinudin J. dan Nik Hashim J di Mahkamah Persekutuan telah memastikan permohonan Dr Munawar untuk mendapat keadilan dan membolehkan kesnya dibuka semula telah ditamatkan. Mereka memastikan Dr Munawar tidak berupaya untuk mendedahkan pengalaman pahitnya pada tahun 1998 di tangan pihak polis, pendakwaan dan mahkamah dalam suatu perbicaraan yang baru. Permohonannya untuk menimbal semula keputusan Mahkamah Persekutuan telah ditolak baru-baru ini pada 28 Desember 2009 oleh panel Mahkamah Persekutuan yang dianggotai Arifin Zakaria J., Raus Sharif J. dan Mohd Ghazali Mohd Yusuf.
Pergeseran yang jelas di antara layanan dalam kes Sukma dan kes Munawar pada peringkat rayuan kepada mahkamah yang lebih atas cukup terang dan nyata. Di dalam sistem perundangan jenayah manapun, apabila pengakuan dicabar atas sebab dilakukaan tanpa kerelaan, pihak tertuduh secara automatiknya dianugerahkan peluang mendengar viva voce (melalui saksi-saksi) berhubung dengan kesukarelaannya. Pendinding perundangan ini menjadi amat penting kerana apabila pengakuan bersalah direkodkan berdasarkan pengakuan tanpa rela. Cukup disesalkan mahkamah tertinggi di Malaysia tidak nampak prinsip-prinsip asas keadilan sistem kehakiman ini. Melalui tindakan tersebut, mereka telah mengesahkan jenayah serius yang dilakukan pihak polis dan pendakwaraya terlibat apabila dia ditangkap, ditahan dan disiksa bagi mendapatkan pengakuan palsu dan dipenjarakan selama enam bulan hanya kerana untuk memburukkan nama Anwar dengan perkaitan hubungan perkenalan.
Konspirasi hasad niat jahat dalam kes sekarang ini
Gani Patail sekarang merupakan Peguam Negara di Malaysia. Musa Hassan ketua pasukan polis negara. Kedua-dua nama, secara khususnya Gani Patail, telah didedahkan oleh Mat Zain sebagai mereka cipta bukti palsu, suatu jenayah yang serius, bagi mengenakan Anwar dalam penyiasatan ke "mata lebam" Anwar.
Penyiasatan kes sekarang ini dibawah kawalan polis yang mendapat arahan dari Musa Hassan. Hasad jahat penyiasatan menjadi cukup nyata apabila anggota polis bersenjata dan bertopeng menangkap Anwar kira-kira jam 1 tengahari di rumahnya pada 16 Julai 2008 – ini terjadi kira-kira dua setengah minggu selepas laporan dibuat Saiful. Penangkapan itu sebenarnya langsung tidak perlu dibuat. Ini disebabkan para peguam Anwar sedang mengiringi beliau ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lumpur pada jam 2 petang hari yang sama bagi menghadiri temujanji yang telahpun diatur sebelum itu dan dipersetujui oleh pegawai polis yang ditugaskan merekod kenyataan Anwar.
Namun, beliau ditangkap umpamanya beliau seorang penjenayah yang sedang melarikan diri. Anwar ditahan semalaman di lokap, sekali lagi ianya tidak perlu dan cukup jelas menunjukkan hasad jahat. Beliau dipaksa tidur di atas lantai simen yang dingin, menambah burukkan kecederaan lama bahagian belakangnya. Alasan yang diberikan polis untuk menahan Anwar selama semalaman adalah kerana mereka perlu menyelesaikan untuk mengambil kenyataan beliau – namun permintaan beliau untuk pulang pada waktu yang dijanjikan telah ditolak. Sekarang ia menjadi amat jelas bahawa Anwar ditahan semalaman dilokap kerana percubaan untuk mendapatlan sampel DNA dari tubuh beliau.
Tuduhan Saiful diperkuatkan lagi dengan Saiful mengambil bahagian dalam acara "sumpah lakhnat" di Masjid Negara Kuala Lumpur pada 15 Julai 2008 dengan kehadiran Ustaz Ramlang bin Porigi, salah serang imam di sana. Kemudiannya pada bulan Ogos, Ustaz Ramlang mendedahkan yang dia diarahkan oleh Ketua Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAIWP) Dato Che Mat bin Che Ali untuk hadir sebagai saksi saat sumpah tersebut berlangsung. Disebabkan dia membuat pendedahan umum berhubung perkara ini, Ustaz Ramlang kemudiannya ditukar ke bahagian "kewangan" (JAIWP). Beberapa bulan kemudiannya dia dikenakan tindakan disiplin.
Campurtangan politik juga ditunjukkan dalam pengendalian aduan qazaf yang difailkan oleh Anwar ke atas Saiful kepada pihak JAIWP pada 9 Julai (qazaf merupakan kesalahan dibawah undang-undang syariah kerana memberi kenyataan fitnah terhadap orang lain, khususnya dalam hubungannya dengan kesalahan seksual). Jabatan penguatkuasaan JAIWP telah menyelesaikan penyiasatannya dalam masa beberapa bulan dan telah merekod kenyataan dari Anwar, Saiful dan saksi-saksi yang relevan. Sehingga ke hari ini JAIWP masih belum mengisytiharkan tidak ada kesalahan yang dilakukan Saiful. Dalam masa yang sama, tidak ada pendakwaan terhadap Saiful yang cuba dibuat. Para pegawai JAIWP telah diarahkan oleh Menteri Persekutuan bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Saiful, atas alasan kes liwatnya masih belum habis berlangsung. Hal ini adalah salah kerana perundangan kedua mahkamah ini adalah terpisah dan indipenden dan sekali lagi ia menunjukkan campurtangan politik.
Hasad jahat dan berat sebelah di pihak pendakwaan; memegang dokumen daripada pihak pembelaan; perbicaraan tidak adil
Perhatian yang serius patut diberikan terhadap hasad jahat dan sikap berat sebelah di pihak pendakwaan. Gani Patail menandatangani sijil pemindahan kes Anwar dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Yusuf Zainal Abiden, Pendakwaraya Kanan dalam pasukan pendakwaan kes sekarang juga terlibat secara giat dalam kes Sukma dan kes pendakwaan Anwar pada tahun 1998. Terdapat keprihatinan dengan memberikan sikap berat sebelah dan mala fide atau niat jahat yang ditunjukkan pihak pendakwaan dalam kes-kes sebelum ini, bahawa Anwar tidak akan mendapat perbicaraan yang adil daripada Pendakwaraya Kanan yang mendakwanya sekarang.
Beberapa tindakan berniat jahat telahpun ditunjukkan dalam persoalan pencarian dokumen-dokumen dan bukti dalam kes semasa ini. Permohonan beterusan dari barisan para peguam Anwar untuk mendapatkan dokumen-dokumen yang sesuai bagi mempersiapkan pembelaan seperti kenyataa saksi Saiful dan saksi-saksi lainnya tidak dilayan oleh Pendakwaraya Kanan. Anwar kemudiannya memohon dokumen-dokumen ini kepada hakim perbicaraan Mahkamah Tinggi. Hakim Zabidin Mohd Diah telah membenarkan permohonan Anwar ini. Pihak pendakwaraya pula merayu, yang menyebabkan Mahkamah Rayuan mengenepikan penghakiman Mahkamah Tinggi. Rayuan Anwar ke Mahkamah Persekutuan ditolak pada Jumaat 28 Januari 2010. Suatu keputusan yang tidak mengejutkan, dengan melihat pendirian politik yang diambil oleh hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes Dr Munawar.
Fakta menunjukkan rayuan Anwar ke Mahkamah Persekutuan terhadap beberapa hal penting berhubung pengeluaran dokumen itu masih lagi menunggu keputusan. Namun demikian, hakim perbicaraan Mahkamah Tinggi pada 6 Disember 2009 muncul dalam keadaan tertekan untuk menetapkan tarikh perbicaraan lebih awal dan menetapkan perbicaraan dimulakan pada 25 Januari selama sebulan. Hakim yang sama pernah berkata bahawa tahun ini tarikh perbicaraan tidak akan ditetapkan sehinggalah perihal mendapatkan dokumen-dokumen itu ditentukan oleh rayuan ke peringkat mahkamah yang lebih atas.
Keadilan perbicaraan yang bakal dihadapi Anwar telah dipersoalkan dengan penafian dokumen-dokumen penting bagi persiapan pembelaan. Di dalam perbicaraan jenayah pada hampir keseluruhan sistem perundangan, pihak tertuduh akan diberikan, sebelum perbicaraan, kenyataan-kenyataan kesemua saksi dan keseluruhan dokumen yang dikeluarkan oleh kesemua saksi terbabit. Prosedur ini memastikan keadilan terhadap semua pihak, dan menghalang penangguhan perbicaraan. Meskipun terdapat peruntukan undang-undang sedia ada, namun perbicaraan Anwar akan berjalan seperti cara lama dengan serangan-serangan hendap penghujahan dan pembuktian. Setiap butir-butir perincian kes pendakwaan dan banyak dokumen-dokumen penting akan dilihat kali pertama oleh pihak pembelaan hanya sewaktu perbicaraan berlangsung. Ianya meletakkan pihak tertuduh dan para peguam belanya dalam keadaan tekanan yang tidak adil.
Konspirasi politik
Kunci kepada perbicaraan ini dapat dilihat dengan tindak-tanduk bermotif politik oleh pihak pendakwaan dan kepentingan pihak-pihak yang terlibat, secara khususnya Gani Patail (Peguam Negara sekarang) dan Musa Hassan (Ketua Polis Negara sekarang) serta Perdana Menteri hari ini.
Pakatan Rakyat dan Anwar telah mengkritik mereka secara habisa-habisan di dalam dan di luar parlimen – Peguam Negara Gani Patail dengan perlakuan jenayahnya sendiri di dalam kes penyiasatan "mata lebam", kegagalannya untuk memastikan pendakwaan bagi banyak kes-kes rasuah yang serius, secara khususnya yang berkaitan dengan jenayah dan rasuah yang didedahkan dalam video klip VK Lingam; juga terhadap hubungan terhadap dakwaan-dakwaan berwibawa keterlibatan KPN Musa Hassan dalam tindakan jenayahnya berserta hubungan rasuahnya dengan ketua-ketua kumpulan kongsi gelap seperti BK Tan dan Goh Cheng Poh.
Kritikan terbuka Anwar terhadap keterlibatan Perdana Menteri dalam kes rasuah pembelian jet Sukhoi dan kapal Selam Scorpene oleh Kementerian Pertahanan telah menjadi rekod umum. Anwar juga berulang kali mendesak Najib membenarkan penyiasatan bebas bagi membersihkan namanya atas dakwaan berwibawa penglibatan dirinya dan isterinya Rosmah dalam pembunuhan terkenal model Mongolia Altantuya Shaaribuu.
Blog-blog di internet melaporkan bukti akuan bersumpaj yang dibuat oleh penyiasat persendirian Balasubramaniam yang mengatakan Altantuya memberitahunya yang dia mempunyai hubungan peribadi dengan Najib dan kaitannya dengan rundingan pembelian senjata yang sama serta tentang bagaimana DSP Musa Safiri, pegawai polis pengiring Najib memainkan peranan dalam penangkapan dan pelenyapan Altantuya. Musa Safiri malah tidak dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya.
Anwar pada bulan Julai tahun 2008 dan pada Februari tahun lalu turut memfailkan laporan polis berkenaan Gani Patail dan Musa Hassan atas peranan mereka dalam mereka-cipta bukti terhadap diri beliau dalam penyiasatan kes "mata lebam" pada tahun 1998. Laporan itu juga turut mendakwa mereka bersubahat memfailkan laporan polis palsu pada malam 20 September 1998 dalam hubungannya dengan penangkapan Anwar di rumah beliau di Bukit Damansara. Tidak ada satupun laporan-laporan ini menghasilkan pendakwaan biarpun seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan berpendapat Gani melakukan kesalahan jenayah dalam kes penyiasatan "mata lebam".
Penyalahgunaan lembaga-lembaga awam seperti pasukan polis, Pejabat Peguam Negara, Kehakiman dan institusi lainnya seperti yang pernah terjadi pada tahun 1998, sedang berlaku sekali lagi dengan kes terbaru ini. Ia bukanlah kes jenayah yang mudah. Apa yang sedang diperjudikan sekarang ini adalah penggunaan kes aniaya dan palsu sebagai senjata politik untuk menghentikan kemajuan Anwar Ibrahim dan gerakan politik Pakatan Rakyat yang dipimpinnya. Suatu kemajuan gerakan yang mengancam kewujudan dan masa depan kerajaan Barisan Nasional dan para pemimpinnya.
Sivarasa Rasiah
No comments:
Post a Comment