Kehadapan tok jib PM yang disanjungi semoga berada didalam keadaan sihat hendaknya..
Buat pengetahuan Tok jib saya dan rakyat mahrean semuanya berada keadaan sihat walafiat walaupun ada sedikit batuk dan selsema akibat peratus kualiti udara dan suhu yang semakin teruk.
Tak apa lah, kami tahu yang tok jib mungkin terlalu sibuk untuk meninjau keadaan ini kerana ianya isu yang kerdil sekerdil kami ini.
Oh ya! sebelum kami terlupa, Nenek suruh sampaikan pesanan. Nenek kami sedih kerana banyak hutan simpan yang dahulunya mengelilingi perumahan kami sudah pun ditebang dan bukitnya di paras menjadi padang jarak. Nenek kata rumah semakin panas dan habuk melekat di tingkap dan dinding rumah. Nenek kata lagi bila bangunan tu dah siap pintu utama ke kawasan elit itu berada dihadapan perumahan nenek. sudah banyak kereta-kereta yang lalu lalang dan adakalanya rumah nenek pun dijadikan tempat letak kereta oleh orang ramai.
Tok jib, nenek kata lagi pasu bunga dan pokok bunga kertas yang nenek sayang habis di lenyek oleh tayar kereta-kereta ini. Sejak merdeka nenek kata dia bertambah susah bukan bertambah senang. senang dari segi wang tapi susah dalam hati, sering sakit dan hidup tidak tenteram...
Susah jugak nak hidup di negara tanah air sendiri. nenek kata datuk dulu askar melayu masuk keluar hutan tu perkara rutin dan adakalanya nenek tak jumpa datuk sampai 8 bulan. bila datuk pulang, ayat yang sama datuk laungkan kepada ayah dan nenek iaitu "aku kerja bukan main-main, aku nak bagi anak cucu aku senang kemudian hari tak takut untuk bekerja dan senang untuk ngaji"...
Betul jugak kata arwah datuk, walupun dah 3 kepala peluru tembus dalam daging dia tapi sifat kepahlawanan melayu memang bersarang sebati didalam jiwa. tak mudah mengaku kalah demi masa depan cucu cicit melayunya.
Tok jib, bila datuk pencen askar kerajaan hanya bagi sagu hati seribu ringgit dan pencen bulanan RM78 sebulan. dengan wang sebanyak itulah datuk simpan sikit-sikit dan berjaya buka sebuah kedai runcit di Kampung baru pada tahun 1972. datuk dengan bangganya memberitahu kepada setiap pelanggannya yang dia sudah banyak membantu dalam membentuk malaysia yang makmur dan mengharapkan kemakmuran Malaysia ini akan menjadi lubuk rezeki kepadanya pula. mungkin dia terlalu mengharapkan jasanya itu dibalas dengan adil.
sehari demi sehari perniagaan datuk semakin baik tetapi apa yang di persoalkan olehnya kenapa tokey cina yang membekalkan barangan runcit kepada kedai datuk kerap menaikkan harga barang sedangkan kedai cina yang lain masih lagi dengan harga yang sama.
datuk kata, semasa dia berjuang didalam hutan tidak terlintas sedikitpun dalam fikirannya untuk membeda-bedakan keselamatan org awam tanpa mengira warna kulit bahkan 3 peluru yang masih tertanam di bahu dan di peha datuk adalah kerana tindakanya menyelamat seorang gadis cina yang hendak diperkosa oleh tentera jepun. adakah mereka tidak pandai menilai pengorbanan seseorang?
tahun 1986 ketika datuk sudah tua benar dimana umurnya telah mencecah 80 tahun semangat tenteranya tidak pernah pudar. acap kali dia katakan "a soldier will never quit untill he die".
Tok jib, datuk telah meninggal lama dahulu dengan pencen RM78 sebulan dan dengan berkat jimat dan berusaha keras lah datuk telah memiliki beberapa rumah sewa dan kedai di kampung baru. walaupun datuk meninggal di Kedah tetapi nostalgia Kampung baru tidah pernah luput dari ingatannya kerana kampung baru telah menyaksikan hilai tawa, derai tangisan, jatuh bangun dan kejayaan insan yang bernama bangsa melayu.. bangsa yang selalu dihina dan di jadikan bahan eksperimen oleh pemerintahnya sendiri.
Tok Jib, datuk kata Kampung baru adalah kota terakhir masyarakat melayu di Kuala Lumpur. Hilangnya nama kampung baru di peta kuala lumpur bermakna hilanglah kerajaan Melayu di Malaysia kelak nanti....
Yang benar,
Cucu Datuk dan nenek
*surat di atas adalah dipetik dari forum mykmu
edyes wrote:
Sejak isu tanah Kampung Baru meletup, saya ada juga belek-belek forum mykmu untuk melihat apakah khabarnya rakan-rakan seperjuangan kita di sebelah sana yang siap sedia mempertahankan UMNO pada bila-bila masa. Namun mykmu hari ini sudah mempunyai perbezaan ketara berbanding suatu ketika dahulu. Jika dulu, segala macam komen yang tidak menyebelahi mereka akan dipadam setelah entri atau post tersebut dibaca oleh moderator yang dilantik. Hari ini, mungkin moderator-moderatornya telah by-pass tugasan mereka kerana tersedar dari lamunan.
Percayalah, apa yang diperjuangkan rakan kita iaitu penyokong tegar UMNO di forum mykmu tidak jauh bezanya dengan apa yang kita juangkan dalam Pakatan Rakyat. Ianya termasuklah mempertahankan kedaulatan negara serta menjaga nama baik agama kita. Beza yang ketara cuma, mereka mengharapkan UMNO dan BN untuk memartabatkan bangsa sedangkan kita yang telah lama tersedar bahawa, tiada harapan lagi untuk sebuah parti yang dinaungi orang puteh sewaktu di awal penubuhannya. Ramai juga yang penyokong tegar UMNO masih mempertahankan tindakkan pemimpin mereka, tetapi jumlah ini berkurangan berbanding jumlah yang mengkritik dan mempertikai. Dapat juga kita lihat, hanya mereka yang tidak rasional dari posting-postingnya, masih ditakuk lama menyokong kebejatan UMNO.
Situasi seperti ini agak jarang berlaku memandangkan forum mykmu adalah kubu kuat mereka. Adalah begitu payah bagi pendakwah Pakatan Rakyat untuk menembusi mykmu dengan selesa dan acapkali capaian mereka dinafikan melalui penggantungan login id dan ada yang dihapuskan terus dari forum tersebut. Kali ini, kesedaran itu hadir sendiri dikalangan orang kuat mykmu sepertimana yang pernah saya lalui sekitar tahun 2005.
Mungkin senarai isu besar di bawah menjadi faktor pendorong yang utama kerana ia terbit dalam masa yang hampir serentak, antaranya ialah;
1. Isu penyerahan beberapa blok/wilayah minyak yang berharga pada kerajaan Brunei.
2. Penyerahan tanah KTMB (satu2nya tanah kepunyaan Melayu/Malaysia di Singapore) pada kerajaan Singapore.
3. Isu ramalan Malaysia akan bankrup dalam masa sembilan tahun lagi oleh Menteri Umno. (Malaysia diramal bankrup tahun 2019 sebelum diishtihar Malaysia maju 2020?..sungguh lucu Wawasan 2020 Tun M)
4. Isu GST dan penarikan balik subsidi kerajaan kepada rakyat (segala yg berkaitan dengan 'Barang Naik', termasuk desas desus harga minyak akan naik)
5. Isu kerajaan Umno/BN merestui pertaruhan judi bola sempana Piala Dunia 2010
6. Isu penyerahan 40% kouta hak pemilikan tanah orang Melayu di Kampung Baru kepada bukan Melayu.
Fakta-fakta yang berbentuk point di atas saya petik dari blog sahabat iaitu priamalaya. Sebagai seorang aktivis blogger, pastinya fakta di atas terkesan dengan mendalam malah ia juga memberi kesan yang signifikan terhadap saki baki penyokong UMNO. Hanya mereka yang berkepentingan sahaja masih bersama kapal yang kian karam, selebihnya adalah manusia yang kurang cerdik dalam menilai erti sebuah perjuangan.
Semua perkara di atas menambahkan lagi kebencian terhadap retorik 'juara rakyat' dan juga retorik 'rakyat didahulukan'. Tetapi perkara ke-enam yang menyentuh isu pemilikkan Kampung Baru Kuala Lumpur adalah isu yang membuatkan saya sebak lagi hiba. Kampung Baru Kuala Lumpur merupakan bidang-bidang tanah terakhir orang melayu di pusat bandaraya. Sepatutnya warisan terakhir ini dijaga, dikawal rapi dan dibela sepenuhnya.
Saya bukan berniat untuk menidakkan hak bangsa lain untuk berniaga di Kg Baru, tetapi cuba pertahankan hak orang melayu di atas tanah orang melayu itu sendiri. Apabila kerajaan menyerahkan 30-40% pembangunan moden Kg Baru supaya diusahakan oleh bangsa lain, ia umpama kerajaan telah underestimate kebolehan peniaga melayu. Menyerahkan Kg Baru kepada bangsa lain untuk diusahakan dengan alasan bangsa lain itu mempunyai keupayaan untuk melabur dengan jumlah yang besar adalah tidak masuk akal sama sekali. Ia boleh disamakan dengan tindakkan kerajaan selama ini menarik pelabur kapitalis barat ke atas bumi Malaysia. Setiap orang melayu harus merasa malang apabila status tanah reserved yang khas untuk melayu telah bertukar tangan, lebih malang jika tanah itu adalah warisan terakhir kita iaitu Kampung Baru.
Kerajaan harus sedar bahawa orang melayu juga mampu menjadi pelabur di Kg Baru. Empayar Naza sebagai contoh, telah lama bertapak di Kampung Baru dan apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah memberi lebih ruang kepada Naza Group dan konglomerat melayu lain untuk membangunkan Kampung Baru. Kerajaan juga mempunyai banyak syarikat GLC yang serba melayu seperti Khazanah Berhad dan Tabung Haji, mengapa tidak syarikat-syarikat ini diberi jalan untuk ke Kampung Baru? atau kerajaan mempunyai motif lain yang tidak lain dan tidak bukan, menguntungkan individu tertentu?
Harus diingat, kebanyakkan bandar-bandar utama di Kuala Lumpur telah dikuasai oleh bangsa lain seperti di Bukit Bintang, Cheras, Pudu dan Petaling. Apakah kita mempunyai 30-40% daripada perniagaan mereka di sana? Maka wajarkah Kg Baru diserahkan bulat-bulat demi wang ringgit yang banyak? Kg Baru harus dipertahankan, demi mewujudkan kawasan melayu mutual di tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Kg Baru menjadi lambang peninggalan khazanah bangsa kita.
Maka sedarlah, Tanah Rizab Melayu sudah makin berkurangan, blok-blok minyak di lautan juga diserah pada Brunei, Pulau Batu Puteh dah terlepas selain tanah Tanjung Pagar di perkarangan pulau juga dah tergadai, kini nasib Kampung Baru bagaikan telur dihujung tanduk. Melayu akan tinggal di flat yang dibangunkan sekitar Kampung Baru di kala condominium mewah beserta pub dan disko bersama pakej sarang maksiat lain akan dibangunkan, juga di kampung yang sama iaitu Kampung Baru. Itulah nasib melayu, melukut di tepian gantang.
Ramai yang dah sedar, betapa kurangnya cerdik kita melambung tinggi kejayaan 50tahun merdeka. Ramai yang telah sedar, betapa kurangnya cerdik kita menyokong retorik 'juara rakyat', yang akhirnya melingkupkan bangsa.
Setelah sedar, bangkitlah memberi yang terbaik demi anak bangsa. Selamatkanlah saki-baki khazanah negara untuk bangsa sebelum ia dijual sehabisnya. Kita masih punya masa sekiranya bangkit hari ini. Kita tunjukkan kepada mereka bahawa bukan semua jiwa itu boleh dibeli dengan janji palsu semata. Berjanjilah bahawa kita sudah sedia untuk bangkit menentang kezaliman yang serba halus lagi menyeksakan. Lawan tetap Lawan!!
Sokonglah gabungan alternatif untuk selamatkan negara ini disebalik pilihan yang terhad. Jikapun memilih Pakatan Rakyat itu adalah sesuatu yang meresahkan, maka bertindaklah dengan bijak. Satu penggal untuk Pakatan Rakyat! Nilailah 5 tahun itu berbanding 50tahun yang telah dilalui.
Tumbangkan Barisan Nasional, itu sahaja harapan yang kita ada! Mari bersama Pakatan Rakyat melalui PAS, PKR dan DAP, kita berjuang demi anak bangsa! Yakinlah dengan perjuangan!!
EDYES - 2 JUNE 2010 - 4.46am
No comments:
Post a Comment