Perkongsian spontan tanpa kredit



Follow twitter saya @negaramerdeka

Monday, March 19, 2012

Akhirnya Kadir Sheikh Fadzir Keluar UMNO, Sahut Cabaran Ku Nan



Pemimpin veteran Umno yang juga bekas menteri kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini meletakkan jawatannya selaku ahli parti itu.

"Pada hari ini saya telah pun mengirim surat kepada Setiausaha Agong Umno Malaysia untuk meletakkan jawatan selaku ahli Umno Malaysia mulai hari ini," katanya dalam satu kenyataan media ringkas.

Beliau walau bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa beliau berbuat demikian.

Abdul Kadir menjadi ahli Umno dan memegang jawatan dalam parti itu sejak tahun 1956 sehingga sekarang - selama 56 tahun.

Beliau pernah menjadi exco pemuda Umno selama 10 tahun dan ahli majlis tertinggi Umno selama 24 tahun di samping jawatan-jawatan lain seperti ketua pemuda Umno negeri Kedah dan sebagainya.

Beliau juga menjadi ahli pentadbiran kerajaan Malaysia sekitar 30 tahun, selaku setiausaha politik, setiausaha parlimen, timbalan menteri dan menteri. Antara kementerian yang pernah diterajuinya termasuk kementerian penerangan dan pelancongan.

Pada minggu lalu, Abdul Kadir meletakkan jawatannya selaku Bendahari Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu - jawatan terakhirnya dalam Umno.

Beliau kini adalah timbalan presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) dan sering mengeluarkan kenyataan yang membidas Umno, termasuk dakwaan BN membeli undi dan tiada kebebasan bersuara dalam parti itu.

17 Mac lalu, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Lembaga Disiplin Umno sedang mengumpul maklumat dan bukti berhubung dakwaan Abdul Kadir dan akan bertindak ke atasnya. -mk

Abdul Kadir disyor keluar UMNO
Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2012/03/18



TENGKU ADNAN bertemu peserta orang kurang upaya (OKU) pada Hari Keluarga Ahli Parlimen Putrajaya di Presint 18 dekat Putrajaya, semalam.

Bekas Menteri Penerangan dilihat tidak sesuai jadi ahli jika tak gembira

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir disyorkan keluar daripada UMNO sekiranya beliau tidak gembira dengan apa yang berlaku dalam parti itu, terutama berhubung dakwaan wujudnya politik wang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata dakwaan Abdul Kadir, yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi UMNO, mungkin berpunca daripada rasa kurang senang dengan kepemimpinan sekarang.

"Namun, biar apa pun alasannya, beliau seharusnya membangkitkan dakwaan ini menerusi saluran yang sedia ada dalam UMNO dan bukannya membuat kenyataan atau dakwaan terbuka.

"Beliau (Abdul Kadir) masih lagi Bendahari UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu. Jika beliau rasa UMNO tidak betul, kenapa beliau tidak keluar parti?" katanya mengulas kenyataan Abdul Kadir bahawa beliau tidak akan meminta maaf berhubung dakwaannya mengatakan Barisan Nasional (BN) bersalah kerana mengamalkan politik wang.

Tengku Adnan, yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas beliau merasmikan Hari Keluarga Parlimen Putrajaya, di sini, semalam.

Baru-baru ini, sebuah portal berita Internet melaporkan bahawa Abdul Kadir mendakwa BN membeli undi dengan bayaran antara RM200 hingga RM1,000 dalam pilihan raya umum lalu.

Tengku Adnan berkata, mungkin Abdul Kadir sudah semakin lanjut usianya tetapi berharap beliau tidak lagi membuat kenyataan sesuka hati sebaliknya memikirkan dulu apa yang hendak diperkatakan sebelum membuat sebarang kenyataan.

Malah, katanya, Abdul Kadir tidak menemui mana-mana anggota pucuk pimpinan BN mahupun parti bagi membincangkan sebarang isu atau masalah dalam parti yang merunsingkan beliau. -BH



--------

Published on Kelab Greenboc

No comments: