Perkongsian spontan tanpa kredit



Follow twitter saya @negaramerdeka

Monday, March 19, 2012

Hajat sebelum ajal





KUALA LUMPUR: "Sebelum adik saya menghembuskan nafas terakhir, hanya satu harapannya iaitu ingin berjumpa semula dengan empat anak lelakinya selepas terpisah sejak 10 tahun lalu.
"Bantulah kami supaya harapan terakhirnya itu tercapai," kata Hashimah Abdul Manan, 51, kakak kepada seorang pesakit barah hati yang kini nazak dan terlantar di sebuah sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Hashimah berkata, adiknya, Rossanah, 44, disahkan doktor menghidap barah hati tahap akhir kira-kira tiga minggu lalu dan sejak itu dia hanya terbaring di katil hospital serta bergantung pada alat bantuan pernafasan untuk meneruskan kehidupan.

Menurutnya, Rossanah yang lebih mesra dipanggil Ros terpisah dengan empat anaknya itu selepas dibawa bapa mereka.

"Ketika kejadian 10 tahun lalu, adik saya ada masalah dengan suaminya, tapi kami adik-beradik tak tahu apa puncanya.

"Ros dihantar suaminya ke rumah ibu bapa kami di Setapak manakala anak mereka yang ketika itu berumur tiga hingga 10 tahun dibawa bersama lelaki itu. "Ketika itu, kami tidak mengesyaki apa-apa. Tidak sangka selepas itu, dia tidak pulang mengambil isterinya," kata Hashimah ketika ditemui Harian Metro, semalam.


Menurutnya, sejak kejadian itulah hubungan Ros dengan anaknya terputus dan usaha wanita itu serta anggota keluarga lain mencari mereka gagal.

Hashimah berkata, empat anak lelaki Ros ialah Asymawi Zulkifli yang kini berusia 20 tahun, Muhammad Arif Zulkifli, 18, Muhammad Asyraf, 15, dan Aminuddin Zulkifli, 13.

"Sebelum nazak, Ros memberitahu dia terlalu rindu dan ingin sangat bertemu dengan empat anaknya, malah dia selalu menyebut nama mereka," katanya.

Mengimbas kisah hidup Ros, Hashimah berkata, sejak berpisah dengan suami dan anaknya, hidup adiknya itu menjadi tidak menentu dan kesihatannya juga terjejas. Menurutnya, daripada seorang yang ceria dan peramah, Ros bertukar menjadi pendiam dan mengalami tekanan perasaan hingga terpaksa dibekalkan ubat penenang.

"Sehinggakan apabila bertemu anak keempat saya yang lebih kurang dengan umur anaknya, Ros akan menangis kerana terlalu merindui anaknya.

"Ros suka memendam perasaan dan jarang sekali dia menceritakan masalahnya, tapi saya mengetahui jauh di dalam hatinya dia begitu berharap dapat bertemu semula dengan anaknya," katanya.

Hashimah berkata, penyakit adiknya yang juga anak kelima daripada lapan beradik itu hanya dikesan tiga minggu lalu dan ketika itu ia sudah di tahap akhir, itu pun selepas keluarga memaksanya menjalani pemeriksaan kerana keadaan kesihatannya makin merosot.

"Saya amat berharap agar permintaan terakhir Ros dapat menjadi kenyataan. Biar apapun masalah antara dia dan suaminya dulu, kami harap ia dapat dilupakan kerana kami tidak tahu berapa lama masa lagi yang dia ada sebelum menghembuskan nafas terakhir," katanya.

Hashimah berharap sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keempat-empat anak Ros dapat menghubunginya di talian 012-3948980 atau 016-3355921.


sumber : myMetro

No comments: